Showing posts with label suami isteri. Show all posts
Showing posts with label suami isteri. Show all posts
toqki

"Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia"


Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia.

Sesungguhnya bahagia itu bukan “benda” yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin “diberikan” akan bertambah terangnya. Kata orang, dengan menyalakan lilin kepada orang lain, lilin kita tidak akan padam… tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu.

Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Apakah formula mujarab untuk membahagiakan isteri?


Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa si 'dia' adalah amanah dan anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup sepanjang episod kembara kita di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.


Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun barang-barang yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu.

Itulah "modal insan" yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada perkara yang lain?

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita.



Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir.

Kata Dr Fadhilah Kamsah :

"Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih… mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh “kedutan” itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu “mercu tanda” pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita"


Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni.

Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati “turun” ke mata. Yang kita lihat bukan “body” tetapi budi.

Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi… tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan.

Love is verb – cinta itu tindakan.

Bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestapa…

Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.



Mungkin si kaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang “permaisuri”. Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang “orang gaji”. Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!


Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata.

Malangnya, kita selalu terlepas pandang. Sesuatu yang ‘terlalu’ dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai.

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi…

Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang ‘hilang’ akan berganti? Apakah ibu ayah , isteri, suami yang ‘pergi’… akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada.

Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak ‘pulang’ atau tidak ada lagi si 'dia' yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda ‘pergi’ atau dia yang ‘pergi’. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!

UNTUKMU SAYANG

Sungguh aku tidak akan mensia-siakan mu
Masakan dalam diri ini aku bisa lupa
Pada orang tersayang yang banyak berjasa
Aku tidak akan lupa

Dalam suka dan duka ku
Sentiasa kau disisi ku
Dalam bangun dan jatuh ku
Kau sentiasa memujuk ku

Kau ku sayang…
Itulah teman ku sepanjang jalan

Kekasih,
Kekadang lidah terlalu cepat melontar kata
Membuatkan hati mu sering sahaja terluka
Badan mu penat melayan karenah ku
Tapi kau tetap menerima ku

Bila berjauhan sesaat,
sendu itu memuncak,
Ingin ku dakap,
Ingin ku peluk,
Tidak mahu ku lepaskan
Mahu sahaja ku menjerit nama mu

Cinta itu semakin kukuh…

Sayang,
Aku tidak pernah meluahkan
Bila jemu, letih dan putaran hidup kian mencengkam
Tetapi percayalah…
Cinta ku tidak pernah letih
Sayang ku tidak pernah padam
Rindu ku tidak pernah hilang

Dalam sunyi dan ratap
Engkau tetap hadir dalam doa dan harap

Ya, Allah..
Rahmatilah kekasih hati ku di bumi
Agar cinta kami membumbung tinggi
Tiada sempadan, tiada tara,

sampai syurga!
Amin.


toqki : terima kasih sayang, kerna sabar mengenaliku...

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 9 comments | | edit post
toqki




Berat rasa hati mahu menulis bab rumahtangga walaupun pada hakikatnya saya sudah pun berumahtangga dan jika anda perhatikan terlalu sedikit rasanya tulisan saya berkenaan isu rumahtangga, atau hubungan suami isteri.

Yelah, ada waktu dan ketika saya kadang-kadang hampir sahaja terlupa saya ini suami orang!!:)

Tulisan kali ini saya hanya me'riwayat'kan satu isu yang pernah saya bualkan bersama abang angkat (Azhar namanya) saya dimusim percutian yang lepas.



............


Satu cerita : Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang membisik, bisikan berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang terkeluar dari mulut.

Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dibilang dengan jari. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.

(saya dan abang Azhar)


Abang Azhar kata "gitulah resmi lelaki, enta kena ingat tu zie!"

Semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan.

Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.


Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta.

Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu.

Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.

Dalam perbualan kami itu, secara bergurau abang Azhar sempat sahaja menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila sudah berumahtangga , sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami(bukan semualah, saya tak macam tu pun) :)

Mengapa? Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita pendiam menjadi peleter yang tidak pernah kenal erti rehat.

Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam(senyuman saya masih lagi lebar dan terus lebar)

Kesukaran tugas dan beban tanggungjawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.


(zaman bujang yang sudah berlalu)


Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!

Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan.

Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumahtangga.


Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati.

Benarlah kata hukama,

perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.

Apa maksud tanggungjawab?

Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita “tanggung” di dunia, “disoal” di akhirat dan mesti kita jawab di hadapan Allah SWT kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggung-jawab.

Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun seorang isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.

Telah sering kita diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya ialah mencari keredaan Allah.

Rumahtangga hakikatnya adalah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredaan-Nya. Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat.

Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Bila ini menjadi asas dan terasnya, maka itulah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggung jawab.

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggungjawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumahtangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggungjawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur.

Sebaliknya, jika ada tanggungjawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumahtangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggungjawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan.


Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggungjawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar.

Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggungjawab, yang mampu bertahan ketika 'cuaca' rumahtangga tenang ataupun bergelombang.

Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali.

Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah.



Seorang pakar motivasi pernah mengatakan ;

"Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan"

Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri.

Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga.

Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.

Oleh itu, tunggu apa lagi?

Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan “fail lama” untuk mencipta keserasian baru.

Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini.

Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.

Membina cinta ketika tarikan fizikal sudah menurun , ianya memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman?

Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggungjawab. Walaupun berat terasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah.

Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak atau masalah yang dihadapi, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunnah.

Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.


Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggungjawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan KETIKA ITU CINTA , ketenangan dan kebahagiaan akan berpaut kembali harum dan mewangi!

Tip untuk bertanggungjawab:

* Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita adalah milik Allah bukan milik kita.
* Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
* Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
* Sering melakukan solat istikharah dan hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
* Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggung jawab dengan perintah Allah.
* Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksanya jika mengabaikan tanggung jawab.
* Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati… itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.

toqki : saya mahu lebih bertanggungjawab!!

Pernikahan menyingkap tabir rahsia
Suami isteri inginkan keluarga yang bahagia
Dan mengharapkan sebuah bahtera indah
Untuk bersama belayar ke muara

Pernikahan, menginsafkan kita
Perlunya iman dan takwa, meniti sabar dan redha
Bila masa senang syukuri nikmat Tuhan
Susah mendatang tempuhi dengan tabah

Isteri janji telah dipateri
Diijab kabulkan dan dirahmati
Detik pertemuan dan pernikahan
Yang dihujani air mata kasih
Demi syurga Ilahi


Suami jangan menagih setia
Umpama Hajar dan setianya Zulaikha
Terimalah seadanya yang terindah
Di lubuk hatimu
Isteri adalah amanah buatmu

Pernikahan mengajar tanggungjawab bersama suami dan isteri

Isteri hamparan dunia
Suami langit penaungnya
Isteri ladang tanaman
Suamilah pemagarnya
Isteri bagai kejora
Suami menjadi purnama
Tika isteri beri hempedu
Suami tabah menelannya

Tika suami terteguk racun
Isteri carilah penawarnya
Sungguh isteri rusuk yang rapuh
Berhati-hatilah meluruskannya



Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU