Di hadapan Kaabah seorang suami berdoa agar Tuhan memperkenankan hajatnya untuk berpoligami. Di tempat yang sama si isteri pula berdoa agar Allah menghalang hajat suaminya.
Doa keduanya saling bertentangan. Namun kedua-duanya sama ikhlas. Hati mereka sama-sama suci. Isteri berdoa agar suaminya tidak berpoligami bukan kerana menolak hukum Allah tetapi kerana dirasakan dirinya tidak mampu menanggung ujian.
Dia menerima dari segi ilmu dan hukum, tapi apakan daya, diri tidak kuat melaksanakannya. Manakala si suami pula bukan didorong kerakusan nafsu atau hendak berfoya-foya, tetapi benar-benar ikhlas atas sebab-sebab yang syari’e.
Lalu, doa siapakah yang akan diperkenankan Tuhan?
Wah, payahnya mengukur kemisterian takdir di neraca fikiran tadbir. Walau hanya andaian, namun hati kecil tetap inginkan kepastian.
Bagaimana ya? Mungkin jawapannya begini…
Jika kedua-duanya sama-sama ikhlas, maka Allah akan tentukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka. Jika berpoligami itu yang terbaik untuk mereka berdua maka itulah yang akan ditakdirkan berlaku. Sungguhpun kelihatannya hajat suami yang diperkenankan, tetapi poligami itu cepat atau lambat, pasti akan membawa kebaikan juga kepada siisteri yang tidak mahukannya.
Sebaliknya, jika poligami itu tidak baik untuk keduanya, maka Allah tidak akan takdirkan poligami itu berlaku.
Mungkin pada awalnya, hanya si isteri menarik nafas lega kerana doanya diperkenankan, namun insya-Allah, si suami yang gagal berpoligami itu pun nanti akan mendapat kebaikan (walaupun hajatnya tidak kesampaian).
Doa siapa yang akan diperkenankan? Itu tidak pasti. Yang pasti ialah apa yang terbaik untuk keduanya akan berlaku. Apakah pengajaran di sebalik persoalan di atas?
Ya, Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Dengan akal manusia diberi keupayaan untuk menilai yang mana baik, yang mana buruk, tetapi sebijak mana pun akal kemampuannya tetap terbatas. Justeru manusia tetap perlukan wahyu untuk memandu akalnya. Tegasnya, manusia yang ‘tidak serba tahu’ ini sentiasa perlukan Tuhan yang Maha Mengetahui untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.
Hakikat ini telah Allah tegaskan melalui firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya” Al Baqarah 216
Hakikat itu mesti sentiasa terpahat dalam hati dan fikiran manusia setiap kali berdepan dengan apa jua persoalan dalam hidupnya.
Berbincang, berusaha dan putuskanlah apa sahaja tetapi persoalan tauhid mestilah menjadi dasar pemikiran dan asas pertimbangan kita.
Tuhan telah menentukan yang mana yang benar dan batil, mana yang betul dan salah, mana yang baik dan buruk. Akal manusia yang terbatas itu mestilah digunakan dalam batas-batas itu. Kebebasan akal terletak dalam lingkungan hukum Allah. Jika keluar dari lingkungan itu, bukan bebas yang dinikmati tetapi terbabas.
Ibarat kipas yang berpusing. Berpusinglah selaju mungkin tetapi mestilah terikat kukuh pada dinding atau syiling. Jika pengikatnya longgar, alamatnya hancurlah kipas yang berpusing itu. Maka begitu jualah akal manusia, syiling atau dindingnya sandarannya ialah wahyu. Manakala pengikatnya ialah tauhid.
Justifikasi yang sama mesti digunakan dalam perbincangan tentang semua isu, tidak kira isu poligami, hudud, murtad dan lain-lain lagi.
Akidah mestilah mendasari setiap perbincangan, keputusan dan tindakan. Kuasa mutlak Tuhan dalam menentukan sesuatu yang baik, benar dan betul jangan dilanggar apalagi dicabar.
Tidak mengapa, jika akal belum nampak akan kebaikan sesuatu hukum Allah. Tetapi ingat, itu bukanlah bererti hukum Allah itu tidak baik tetapi akal sesetengah manusia yang belum mampu melihat akan kebaikan itu.
Sepertimana kita mampu melihat seluruh bintang di langit, bukan kerana bintang itu tidak ada ataupun ia tidak bercahaya, tetapi pandangan kita yang dilindungi awan atau mata tidak berupaya melihat kerana kejauhan.
Begitu juga hukum Allah, tentu ada kebaikan yang menjadi sebab Tuhan mewajibkan, menghalalkan atau mengharuskannya.
Assalamualaikum, salam kenal ... kalau boleh saya berpendapat, yang akan diterima mungkin insya allah adalah do'a sang istri, karena Allah tahu bahwa jika sang suami berpoligami, ia tidak akan pernah mampu untuk berbuat adil (Annisa 129). Karena Allah Maha penyayang bagi hamba-hambanya maka Allah mengingatkan jika sang suami merasa takut untuk tidak berbuat adil maka cukuplah dengan seorang istri saja ... fa in khiftum an la ta'dilu fawahidatan ... jadi bagaimana seorang suami bisa berlaku adil padahal dalam ayat yang lain Allah sudah dengan jelas mengatakan 'kamu tidak akan pernah bisa adil' ?
Baik dan buruk siapa yang tahu ?
Saya ingin menyampaikan apa yang dikatakan oleh Abu Hamid Al-Ghazali yang menyatakan bahwa perumpamaan akal dan wahyu seperti mata dan obor di kegelapan malam, mata saja tidak cukup untuk mengetahui apa yang ada di depannya tanpa ada cahaya dari obor ...
betul sekali....jadi poligami itu di larang..
itu hanya mementingkan kaum pria saja
semoga tidak egois meskipun pendahulu mereka seperti itu