toqki



Bilakah agaknya hati ini mampu tenang dan tenteram?? Hati ini terlalu busuk dengan nanah yang membusuk, hati benci mati, maka itu petanda jelas bahawa aku belum cukup mencintai Ilahi.

Apakah cukup sekadar dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, perasaan sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lalu, dosa kini dan dosa akan datang.

Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan sengsara oleh satu pertanyaan:

Bila aku akan matang?



Di malam hari, tidurku tampak lena. Manusia kira aku nyenyak dibuai enak dengan ulik mimpi bersama bidadari.

Tetapi hakikatnya yang kutimbang adalah soal hati. Hati yang masih tamak. Hati yang hanya ingin menerima tetapi begitu sukar memberi. Yang kucongak adalah nafsu serakah yang tak pernah puas.

Namun hakikatnya, neraca muhasabah ini ialah antara mahmudah dan mazmumah. Aku boleh menipu mereka disekelilingku, tetapi mampukah aku menipu diri sendiri? Lebih-lebih lagi mampukah aku menipu Ilahi?

Sukarnya hati ini ingin berpaut pada dahan-dahan mahmudah, sifat qanaah – hati yang berpada-pada dengan apa yang ada, rasa cukup apa yang. Sedikit, mencukupi. Banyak, boleh diagih-agihkan.

Pernah aku berjanji dengan diri sendiri, agar menjaga keinginan agar tidak melewati batas-batas keperluan. Jangan sekali-kali terjerumus ke jurang pembaziran. Keinginan yang melampaui batas, jika tidak dapat dikawal akan mengundang resah jiwa. Gejolaknya akan terus mengganggu. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas.


Fitrah yang tak pernah puas!!!

Aku tersiksa kerana itu!

Kemudian aku terjaga dari mimpi, bahawa kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’.

Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya.

Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan terhadap dunia dan manusia bukan dengan meningkatkan keperluan kepada keduanya.


Wahai diri, milikilah kematangan rasa. Jangan sekali-kali bertindak ‘terlalu’. Samada terlalu ‘mahu’ atau terlalu ‘benci’. Kesederhanaan itu selalu menyelamatkan.


Jiwa dibiarkan buruk dan gelap, hati terus dipaluti penyakit hati yang membusuk, pakaian sering bertukar ganti, agar gah dilihat manusia, rumah ditukar langsir, dicat baru dan dihiasi perabot pelbagai jenama, tapi sayang jiwa berterusan terus kusam, kelam dengan mazmumah yang terus bermaharajalela.

Duhai diri, apakah kamu lupakan mati? Di mana Qalbun Salim (hati yang sejahtera) yang menjadi penjamin mu di Hari yang tidak berguna semua saudara dan segala harta?


Ya Allah, uzlah aku dari kejahatan diri agar tidak menjangkiti orang lain. Qanaah kan aku agar tidak hasad pada nikmat yang diberi kepada yang lain. Sabar aku dengan karenah insan yang menjadi 'bahan uji'Mu untuk dijadikan tarbiyah bagiku. Syukur aku pada nikmat yang ada tanpa mengenang apa yang tiada. Pemaaf aku pada kejahatan insan sebagai karma kejahatanku pada mereka.

Ya Allah, aku belum sampai tahap itu...tetapi sungguh, aku telah mulakan perjalanan. Walau susah sungguh, untuk pasrah padaMu, penuh seluruh! Lihat aku, kesihanilah aku, kutip aku… wahai Al A’fu

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU