toqki

Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu.

Mengapa?

Kata orang, itulah penangan ‘air tangan’. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak ‘terlarut’ bersama bahan-bahan masakan.

Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu?


Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah ‘air’ dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan ‘air tangan’. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Percaya atau tidak anda perlu menerima kenyataan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk ‘mendapat’ tetapi untuk ‘memberi’. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk ‘memberi’ kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang ‘chef’ yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.

Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.

Realitinya, ‘air tangan’ bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, pelajar, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar.

Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.

Falsafah di sebalik ‘air tangan’ inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:

“Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya “

Bak kata Us Ridwan Pauzi :

" Orang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan niat yang ikhlas natijahnya dia dan orang disekelilingnya pasti merasai hasil yang baik "



Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

toqki


Jika ada manusia yang berkata,

"Alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia..."

Maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.



BAHAGIA YANG DIERTIKAN

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang masih bujang , perkahwinan itulah bahagia.Bagi yang gagal kejayaan itulah bahagia.

Tetapi apabila sudah kahwin, kebahagiaan itu bukan pada perkahwinan lagi. Mungkin akan beralih kepada perkara yang lain lagi. Mahu cahaya mata, mahu isteri lebih dari satu (bukan saya, marah toqwan nanti)



Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu 'moving target' yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

SUMBER BAHAGIA

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam 'outside-in' atau dari dalam ke luar 'inside-out'?



Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama , kejayaan dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi.

UJIAN HIDUP PUNCA HILANGNYA BAHAGIA?

Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia?

Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia.

Mengapa begitu?

Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah sunnatullah hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

METAFORA AIR LIMAU DAN LUKA DI TANGAN




Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi.

Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya.

Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor 'kesihatan' hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

INILAH ERTI BAHAGIA

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:

"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:

" Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. " (riwayat Bukhari Muslim)



Rasulullah S.A.W bersabda lagi:

"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati "

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara 'kesihatannya' agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya.

Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah.


Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU