toqki

Forum awam memeluk Islam anjuran Majlis Peguam pagi ini akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin memberitahu perhimpunan tersebut, bahawa beliau telah masuk ke dalam dan mendapati forum itu telah dibubarkan.

"Saya naik sendiri dan melihat forum telah dibubarkan dan saya memberitahu (mereka), tidak mahu lagi forum seperti ini diadakan.

"Kita mahu tindakan yang lebih keras diambil pada masa-masa depan," katanya kepada perhimpunan tersebut pada kira-kira jam 10.30 pagi.

"Kita memberi jaminan mereka boleh beredar dari bangunan ini," kata beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Seramai 500 orang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi kerana membantah penganjuran forum awam memeluk Islam anjuran majlis tersebut.

Mereka melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".

Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam", "Awas Persatuan Peguam, jangan bermain api" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Tiada tangkapan

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, ACP Dzulkarnian Abdul Rahman, memberitahu sidang akhbar bahawa beliau telah berunding dengan Majlis Peguam supaya menghentikan forum tersebut.

"Semasa rundingan, mereka boleh menerima cadangan kita.

"Polis mempunyai kuasa untuk menasihatkan mereka menghentikan forum ini setelah melihat ancaman keselamatan yang kian meningkat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat satu botol yang dijumpai di situ.

"Saya berpuashati kerana mereka bersikap profesional. Semasa rundingan, saya menasihatkan supaya forum ini dibatalkan.

"Insya-Allah keadaan akan kembali pulih semula," tambahnya.

Menurutnya lagi, tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan kedua-dua pihak telah memberi kerjasama kepada pasukan polis.

Pada jam 10.55 pagi, orang ramai sudah beredar dari kawasan tersebut.Sementara itu, Bernama melaporkan forum kontroversi "memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam ditamatkan lebih awal daripada jadual.

Kira-kira setengah jam selepas forum yang bermula jam 9 pagi itu berlangsung, Ambiga memberitahu forum itu bahawa polis telah menasihatkan agar ia ditamatkan pada jam10 pagi. Forum itu sepatutnya berakhir 1.30 tengah hari.

Pada jam 10 pagi, Ambiga mengumumkan secara rasmi bahawa forum itu ditutup.

"Kami menghormati pandangan semua pihak. Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup," katanya.

Sumber Malaysia Kini

........................................

to'ki :

Semalam to'ki sempat menonton berita utama di tv3, dan hari ini sempat menjenguk beberapa akhbar online tmptn. Isu forum awam memeluk Islam mmg hangat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Ada yg cakna dgn isu ini, lantas perasaan marah, tercabar itu datang lalu memprotes tindakan majlis peguam tersebut dan ada juga golongan yg tdk mahu ambil tahu, tdk mahu ambil peduli bila Islam digugat oleh golongan tertentu.

Bknlah tujuan to'ki nak menghasut supaya anda semua keluar melakukan demontrasi. Cuma to'ki ingin melihat generasi muda zaman ini masih ada sensitiviti apabila Islam dicabar oleh golongan yg cuba mempertikaikan Islam.

Kita perlu ingat, kita pernah melalui zaman getir bila sensitiviti umat Tanah Melayu tercabar, umpamnya peristiwa Natrah pada 12 Disember 1950.

Pada saat itu, ummat Islam sangat pantang apabila agama Islam mereka disentuh atau dipermain-mainkan. Bila terkenang kembali kisah Natrah (bekas isteri Mansor Abadi) yang mana ummat Islam Tanah Melayu membuat rapat umum di Singapura dihadiri lebih 2,000 orang, yang mengakibatkan seramai 18 orang mati syahid dan 173 orang cedera parah bagi mempertahankan akidah seorang muslimah.

Kini, timbul pula isu-isu tersebut antaranya , isu yang juga melibatkan seorang anak melayu (anak Mansor?) yang mana juga berpotensi membangkitkan kemarahan ummat Islam di Malaysia. Dan tak lupa juga yang sedang dibicarakan iaitu kes Azalina Jailani (Lina Joy). Dan paling terkini isu forum awam yg di anjurkan Majlis Peguam Malaysia berkenaan

Berbalik kisah Natrah; ia amat menyayat hati....

1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh

Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad.Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman , Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.

1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.

September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.

12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura

24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura

28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.

19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.

28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill

1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhammad, Siti Aisyah.

2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.

12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh.
Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.

25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah

20 Julai 1953 Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

20 April 1956 Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

15 Februari 1957 Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul.

20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga.

3 Februari 1959 Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.

16 Ogos 1976 Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.

26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an

Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

1983 Natrah bercerai dengan Tom Ballermans

1984 Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

15 September 1984 Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
Natrah kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.

Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda.

MOGA-MOGA ALLAH MENYELAMATKAN KITA SEMUA,
HIDUP DAN MATI DENGAN ISLAM!


Cyberluncai: Antara Tokoh Utama yang ditahan di bawah ISA pada masa itu adalah Presiden (Yang Dipertua)PAS; Prof. Dr. Bulhanuddin Helmi....Allahu Akbar!!!

Cetak Artikel Ini
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya | edit post
0 Responses

Post a Comment