toqki

Selepas lebih seminggu kes diliwat disebut di mahkamah, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sumpah mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini petang ini.

Saiful, 23, memilih hari Jumaat untuk menyempurnakan upacara sumpahnya.

Pada pukul 6.23 petang, Saiful yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan Mohd Lazim yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpah.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Imam Masjid Wilayah Persekutuan dan bapa saudara Saiful, ‘Uncle Pet.’

Sambil memegang al-Quran, Saiful yang duduk bersila di atas sejadah sambil mengadap kiblat dan diperhatikan bapanya, telah memulakan upacara ‘bermubahalah’ dimulai dengan mengucap dua kalimah Syahadah sebanyak tiga kali dan bacaan Al-Fatihah.

“Bismillahirrahman nirrahim. Pada hari ini, 14 Ogos 2008, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan, No Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut….A’uzubilahiminasyaitanirrajim. Bismillahirrahman nirrahim. Wallahi…Wabillahi….Wata’alahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 hb Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta, atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat. Wallahualam.”

Sejurus selepas upacara bersumpah itu, Saiful telah bergegas meninggalkan masjid tanpa memberi peluang kepada pihak wartawan untuk menemuramahnya.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap Saiful pada Jun lepas.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Kes itu akan disebut semula pada 10 September dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majlis Wilayah Persekutuan terletak berdekatan dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Upacara itu diadakan sehari sebelum Anwar mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh.

Tinjauan mendapati sebelum itu Saiful melakukan sumpah, pihak media telah berkumpul sejak selepas Asar tadi setelah diberitahu upacara sumpah ‘mubahalah’ akan dilakukan oleh Saiful.

Dalam pukul 5.30 petang tadi, lebih kurang 30 wartawan cuba menyelinap masuk ke dalam Masjid Wilayah Persekutuan untuk melihat apa yang berlaku tetapi telah dihalau oleh pihak keselamatan pada mulanya.

Apabila ditanya kenapa wartawan dihalau, pihak keselamatan berkata itu, adalah arahan pihak atasan.

Bagaimanapun, pihak wartawan berjaya juga memasuki masjid itu.

Kelihatan dua orang pengawal keselamatan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita sedang menunggu di hadapan pintu masuk masjid sementara di hadapan pintu pejabat pentadbiran masjid, kelihatan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna unggu sedang berbual-bual dengan pengawal keselamatan.

Difahamkan, Saiful telah ‘disorokkan’ di salah sebuah bilik dalam masjid itu.

Juga kelihatan bapa saudara Saiful, yang lebih dikenali dengan nama ‘Uncle Pet’ sedang bercakap dalam telefon bimbitnya dan dari sumber percakapan seperti mengatakan sesuatu tentang mengambil ‘wudhu.’

Sejurus selepas itu, Uncle Pat memberitahu kepada wartawan yang Saiful ada di dalam.

“Dia kat dalam…,” kata Uncle Pat tapi enggan mengulas dengan lebih lanjut.

Cetak Artikel Ini
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

0 Responses

Post a Comment