toqki


Alhamdulilah, itulah ucapan yang mampu saya ungkapkan setelah melangkah keluar dari dewan peperiksaan hari ini.

Walaupun ada sedikit gementarnya, tapi ketenangan yang saya rasa sungguh mententeramkan...dan perasaan tenang itu menjadi lebih indah setelah membersikan anggota yang 4 dan terus mengadu cinta dan rindu pada-Nya. Indahnya merasakan ketenangan anugerah Mu itu ya Allah!!

Banyak benda hari ini saya belajar, saya sangat bahagia hari, sungguh saya terlalu bahagia hari ini. Apa sebab? Saya tidak pasti, betul!

Amat tepatlah bahawa apa yang kita fikirkan, selalunya sangat mempengaruhi hati dan suasana yang ada disekeliling kita. Justeru, jika kita ingin mengetahui bagaimanakah keadaan pemikiran kita – sama ada positif atau negatif, kesanlah perasaan kita.

Ceria atau nestapa. Jika ceria, insya-Allah itu petanda fikiran kita positif dan insya-Allah tindakan-tindakan kita pun akan jadi positif juga. Tindakan yang positif, akan menghasilkan natijah yang positif.



What you see, is what you get – apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat.

Maksud “see” di sini bukan dengan mata, tetapi dengan pemikiran dan perasaan. Jika pemikiran kita positif terhadap sesuatu perkara, maka kita akan mendapat sesuatu yang positif daripadanya. Tetapi jika kita melihat sebaliknya, yang negatif akan kita dapat sebagai balasannya.

Dalam kaedah psikologi ada yang dinamakan “reframing” – yakni, memberi erti baru kepada sesuatu yang negatif. Misalnya, kita gagal dalam peperiksaan… Itu buruk bukan?

Tetapi cuba beri erti baru, itu sebenar peluang untuk kita lebih memahami apa yang kita pelajari. Mungkin juga untuk memberi ruang bagi kita koreksi diri. Atau memberi tumpuan yang lebih lagi pada subjek yang kurang kita gemari.

Bukan menafikan realiti, tetapi dengan “reframing” kita akan dapat ketenangan hati dan kestabilan fikiran untuk menyelesaikan kemelut kehidupan.

Itu semua kaedah yang dianjurkan oleh pakar psikologi. Tetapi Islam punya kaedah yang lebih hebat daripada itu.

Kita ada ajaran 'Husnu Zhon' bersangka baik sekali gus dilarang berprasangka (itu satu dosa).

Kita ada anjuran untuk berdoa – bukankah dalam doa kita pinta yang baik-baik dan pinta dijauhkan daripada yang buruk.

Kita ada tawakal, ada solat hajat, ada istikharah dan ada muzakarah. Semuanya yang dibuat atas dasar yang baik dan mengharap yang baik-baik.

Semunya itu hakikat satu “mekanisme Ilahi” untuk melakarkan sesuatu yang positif dalam fikiran dan hati para insani.

Malah, Allah sendiri menegaskan – AKU menurut sangka hamba-KU! Jadi, inginkan kebaikan? Sangka baik dengan Allah, dengan diri sendiri dan dengan orang lain serta sikon (situasi & kondisi) yang dihadapi.

Ingat betul-betul bahawa hati itu umpama magnet. Ia mempunyai kuasa menarik sesuatu yang di luar diri.

Apa yang dirasakan, menentukan apa yang diterima sebagai pantulan. Justeru, penting sekali bersangka baik, agar kebaikan akan ‘ditarik’ ke dalam diri.

Jauhi daripada prasangka dan dendam, kerana itu jua yang akan diterima sebagai balasan. Sekali lagi… hati umpama magnet, semaikan rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai kebaikan. Jangan sekali-kali menyemai badai, nanti terpaksa pula kita menuai taufan!

Hati itu bolak-balik sifatnya. Sabda nabi, bagai kuah yang mendidih dan menggelegak. Simpang-siurnya begitu licik. Naik turunnya, berbolak-balik.

Kekadang ia baik, bagaikan asal mulanya sejak dulu. Jadi kain bersih yang menghamparkan kejernihan dan kesucian. Namun, seseketika bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.

Bila hatimu keras, buas dan liar sekali, bukalah Al Quran, bacalah dan tadabbur akan makna dan rasanya.

Al Quran itu bukankah penawar hati? Namun jika masih keras juga, dirikan solat.

Solat itu zikir penyucian hati....

Namun sekiranya masih keras jua… bangunlah di dinihari. Berwuduk dan berdoalah, pintalah kepada Tuhan agar dikurniakan hati yang lain kerana hati yang kau miliki waktu itu hakikatnya bukan lagi hatimu!

Hati itu ditarik antara dua graviti.

Pertama, graviti tahap tinggi pintalan ilham para malaikat.

Kedua, graviti menjunam lembah kehinaan simpulan para syaitan.

Ketika melihat simiskin meminta-minta, suara hati berdetik… bantulah dia, insan lara yang datang kerna kemiskinan. Namun sedetik cuma, tiba-tiba graviti bertukar, memberi alasan, biarkan… itu balasan buatnya akibat kemalasan!

Kau prasangka? Bukan, cuma berhati-hati. Dan atas alasan ‘berhati-hati’ ramai yang telah enggan memberi tetapi masih merasakan diri baik hati!

Ingat mati – pembasuh hati yang gelisah dan jiwa yang resah. Cukuplah mati sebagai peringatan dan amaran.

Ingat mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat.

Ingat mati akan memadamkan rasa enggan melaksanakan kebaikan.

Ingat mati itu sesungguhnya menghidupkan hati.

Tetapi… sayang, kita kian lupa untuk mengingatnya. Lalu, kita terkapai-kapai antara tarikan dua graviti hati… membuat kebaikan belum terasa kemanisannya, melakukan kejahatan tidak sunyi diburu rasa keresahannya!

toqki : Hari saya belajar apa itu POSITIF, usaha yang POSITIF, doa yang POSITIF, tawakal yang POSITIF , insya-Allah natijahnya pasti POSITIF!!


Cetak Artikel Ini
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya | edit post
0 Responses

Post a Comment