“Barangsiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”
Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut sahabat saya tatkala saat hari lahir saya yang lepas. Agak terasa jugalah saya bila menerima penangan ‘percuma’. Saya kurang mengerti apa motifnya sahabat saya perlu berkata sebegitu rupa pada hari lahir saya.
“Untuk apa kita mati?”
“Untuk hidup…” jawab sahabat saya.
Saya diam dan terkial-kial. Apalah agaknya yang dimaksudkan sahabat saya seorang ini.
“Mati untuk hidup?”
Antara Perkataan Umar Ibn Aziz yang pernah beliau ungkapkan,
“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”
Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup kita di sana,.Maka akhirat itulah tujuan hidup yang fana ini, dan demi kelangsungan hidup yang baqa itu.
ADA APA DENGAN UMUR?
Umur hanyalah putaran suria, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam dan minit . Kita akan kekal, tapi sifat kekal itu bukanlah seperti Khaliq yang bersifat Baqa’.
“Panjang dan pendek umur yang diberikan pada kita bukanlah dinilai pada kuantiti tapi pada kualiti. Juga bukan pada yang zahir tapi juga yang maknawi.” Tambah sahabat saya lagi
Para ulama zaman lampau telah lama mentakrifkan maksud nilai umur pada diri individu muslim.
Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazal tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad.Contoh lain Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya.
“Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa,” kata saya seakan merumuskan.
“Harta boleh panjangkan umur… sedekah atau wakafkan, jadilah amal jariah. Pahalanya berterusan. Akhlak boleh panjangkan umur… hubungkanlah silahturrahim, panjanglah umur kita. Demikian maksud hadis.”
RAHSIA PANJANG UMUR
“Apakah rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur itu?”
“Mereka sedar tentang tujuan! Mereka adalah peribadi yang sentiasa sedar akan tujuan segala sesuatu . Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.”
“Hasilnya?”
“Dunia sentiasa menyediakan jalan kepada orang yang punya tujuan. When there is wiill, the is a way!.”
“Tapi kita bukan mereka?”
“Betul. Tapi itu bukan kelemahan, bahkan satu kekuatan. Setiap kita adalah istimewa. semestinya kita pasti ada kelebihan masing-masing. Tuhan tidak ciptakan manusia bodoh, tetapi Dia mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”
“Kita lebih bijak daripada mereka?”
”Ya, di sudut-sudut tertentu. Seorang pemandu lebih bijak daripada seorang profesor dari segi pemanduan kereta.”
“Tetapi keintlektualan lebih berharga daripada kebolehan memandu kereta. Profesor lebih berharga daripada seorang ‘driver’ ”
“Maksudnya, umur seorang profesor lebih ‘panjang’ berbanding seorang driver? Maksud enta begitu?”
“Perbezaan itu bukan perbezaan taraf, tetapi perbezaan jalan. Jalan untuk seorang driver menjadi hamba Allah berbeza dengan jalan seorang profesor. Itu sahaja.”
“Enta tidak mengiktiraf darjat orang berilmu ke?” saya cuba minta lebih penjelasan.
“Bukan begitu zie... Orang berilmu memang dilebihkan dengan beberapa darjat… tapi dengan syarat, mereka takutkan Allah. Kan itu takrif sebenar seorang ulama?”
“Maksudnya?”
“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi darjatnya daripada seorang profesor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ profesor itu lebih panjang daripada umur seorang driver lantaran ilmu dan amalanya yang lebih tinggi dan berharga!”
“Kan, surah Al Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup dan hidup.. Syuhada’ mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi untuk panjang umur ialah mati syahid,” ujar sahabat saya cuba memendekkan masa perbualan"
Para sahabat Rasulullah sollahu'alaihiwasalam itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini ‘mati’ kerana mencintai hidup.
...........................
Tulisan ini sebenarnya adalah satu ucapan khas buat 2 orang sahabat saya Abdullah Harees, Tengku Khairul Idham dan mereka yang menyambut hari lahir pada bulan ini.Selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silahturrahim, selamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah.
Selamat panjang umur!
Moga ukhuwah kita sentiasa hangat dan terus membakar!
Post a Comment