toqki

Subuh ini membuatkan saya leka membaca beberapa muqarar (sukatan) dari kitab nihayah as-sul untuk peperiksaan esok dan secara tidak sengaja hati dan pemikiran saya seolah-olah terbang mengembara dalam satu perjalanan yang jauh entah ke mana.

Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah aku akan berjaya atau telah berjaya?

Ini soalan yang tidak relevan, hati saya memberi jawapan tanpa dipinta.

Orang yang berjaya tidak sempat bertanya apakah aku telah berjaya seperti mana orang yang bahagia tidak akan bertanya apakah saya bahagia?

Di mana ukuran kejayaan ku? Aku gagal atau berjaya?

Sering dibisikkan dihati, kejayaan itu apabila tercapai tujuan hakiki dalam hidup. Lalu apakah tujuan hidup itu?



Ini soalan asas yang sejak dahulu telah diberitahu bahawa tujuan hidup adalah menjadi hamba kepada Allah – IBADAH.

Ah, mudahnya. Tetapi tidak semudah itu apabila istilah ibadah itu hendak ‘ditulis’ dalam kehidupan.

Sering sekali tujuan dibayangi hajat dan keperluan, hingga alat bertukar menjadi matlamat bila memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat. Acapkali hajat hidup (makan, minum, kenderaan, rumah, harta, kejayaan) bertukar menjadi TUJUAN hidup.

Padahal, tujuan itulah yang pertama dan utama. Keperluan itu hanya perkara kedua yang datang selepasnya. Tujuan itu mengabdikan diri kepada Allah penuh seluruh.

Manakala makanan, pakaian, kediaman, KEJAYAAN dan harta serta dunia segalanya hanya keperluan hidup.

Tujuan itu ialah rasa kehambaan – takut, cinta, harap, taat – seorang hamba kepada Allah.

Keperluan itu ialah alat mencapai tujuan. Tujuan itu letaknya di hati.



Manakala keperluan itu harus di letakkan di tangan. Apakah hatiku sarat dengan TUJUAN?

Atau alpa hanya memburu memperbanyakkan keperluan dan hajat-hajat nafsu yang tidak pernah kenyang??

Ah, malang sekali jika aku merasakan kejayaan itu hanya apabila tercapainya keperluan. Pada hal, hati dan diri masih jauh daripada berjinak-jinak dengan Allah.

Jiwa masih liar. Nafsu masih buas. Dan tanpa disedari sering juga keperluan dimertabatkan sebagai tujuan. Cinta Allah tersisih, takutkan Allah terpinggir, hanya kerana hajat yang dicari tanpa henti atau yang telah melimpah tanpa batas tapi tak pernah puas!

Adakah aku mencari MU bila mana aku inginkan HAJAT??

Dan lebih aneh kalau ukuran kejayaan telah tertukar tanpa sedar. Kita mengukur ertinya pada neraca keperluan hajat bukan tujuan.

Aku lebih berjaya, kalau harta, rumah dan kenderaan ku mewah dan bertambah.

Aku berjaya jika manusia memandang tinggi padaku!

Padahal di neraca tujuan, timbangan cinta, takut dan harap mu kepada Allah kian ringan.

Kekadang, pandai syaitan berkias kata, berkilas rasa… katanya, kau mencari segalanya kerana Allah jua. Kalau kerana Allah, bagaimana hati mu?

Jika benar harta dan milik mu itu kerana Allah jua, bagaimana rasa hati mu ketika mencari, mengurus dan mentadbirnya? Apakah segala-galanya diurus tadbir dengan rasa takut, cinta dan mengharap keampunan-Nya?

Bagaimana pula dengan solat mu, kian khusyuk? Bagaimana dengan puasa mu, sudah soleh? Bagaimana dengan zakat dan sadakah mu sudah luhur? Bagaimana dengan mazmumah mu telah lebur?

Hati ‘besar mu’ boleh menipu wahai diri… tetapi ‘hati kecil mu’ tidak mampu menipu.

Hati kecil mu sentiasa tidak rela dan tega untuk menipu diri sendiri! Dialah yang paling terseksa apabila kau mengukur kejayaan berdasarkan keperluan, bukan tujuan! Makanan dan ubat jiwa bukan harta… tetapi cinta. Cinta Allah dan takut kepada-Nya.


Hari semakin cerah.. Akal semakin diheret dalam kembara hati yang bersimpang-siur. Apakah destinasi ku saat ini? Apakah tujuan atau keperluan? Hati besar dan hati kecil terus berebut untuk mengendali kemudi diri!

Sayidina Ali pernah berkata di satu ketika,

“Wahai dunia, janganlah tipu aku… janganlah tipu aku… aku telah ceraikanmu dengan talak tiga!”

toqki : doakan saya bisa jawab paper esok dengan baik dan tenang :)

Cetak Artikel Ini
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya | edit post
0 Responses

Post a Comment