Semalam saya sempat mengusik isteri saya dengan mengatakan begini padanya,
"cuti musim panas ni, sayang balik Malaysia seorang jelah, tolong ayah di kampung.. abang nak stay sini, abang nak talaqi!!"
Isteri saya diam seketika, cuba menelan air liur dan terus melontarkan senyuman kelat-kelat, masin pada saya.
"Takpe, nur tak kisah..abang laki, abang kena belajar lebih lagi dari nur...nur sanggup jadi seperti Siti Hajar bang! "
Lebar bibir saya tersenyum mendengarkan ungkapan sebegini, hati saya lega campur bangga memiliki isteri sepertinya, walaupun pada hakikatnya saya sengaja mahu tahu apa reaksinya, marahkah? Merajuk kah dia...
Itu cerita saya dan isteri...
Dulu-dulu sebelum saya berangkat ke Mesir, saya sempat mengetahui beberapa teknik atau cara-cara 'menyuntik' daya tarikan pada tulisan kita. Antara tekniknya ialah dinamakan sebagai 'Kill your Darling'.
Ia adalah istilah dalam penulisan, dan merupakan frasa yang kita anggap paling indah, bernas dan hebat sebenarnya tidak sebegitu dalam realitinya. Walaupun selalu diingatkan supaya kita melakukan 'self editing' tetapi frasa yang kononnya sangat indah itu tidak akan kita buang. Munasabah ke kita membuang sesuatu yang kita sayang?
Justeru, kita perlukan orang lain menyunting tulisan kita. Dan hanya pada ketika itu sahaja frasa 'kesayangan' kita dipotong atau diperbaiki. Kill your darling, itulah yang selalu digunakan dalam bidang penulisan. Hasilnya, hasil tulisan kita akan menjadi lebih baik, bernas dan tepat...
Pembaca yang saya kasihi, kekadang kehidupan kita seperti itu juga. Sentiasa ada individu, sikap, pendirian atau pandangan hidup yang kita anggap benar tetapi hakikatnya tidak.
Walaupun kita cuba bermuhasabah, ia tidak akan kelihatan juga sebab ia sudah terlalu dekat dengan diri kita. Cuba dekatkan sedekat-dekatnya tapak tangan kita ke mata sendiri.
Semakin dekat, semakin kecil radius penglihatan kita dan ia menjadi semakin kabur. Maka begitulah sikap, pandangan dan individu yang terlalu hampir dengan kita… kekadang sudah terlalu hampir hingga kita menjadi 'buta' untuk melihatnya.
Boleh jadi dia seorang teman yang rapat, . Tetapi hakikatnya dia adalah musuh mu yang ketat. Tetapi oleh sebab terlalu sayang, onarnya kabur di mata kita. Mungkin kerana pandainya dia melayani perasaan dan impian kita, lalu kita letakkan seluruh kepercayaan, padahal dia sedang bersiap sedia mengkhianati kita.
Mungkin ia sebuah buku, yang kita kelek ke sana ke mari. Kita baca berulang kali, lalu pengarangnya kita sanjung dan junjung. Namun hakikatnya, buku itu jauh dari hidayah, tersasar dari taufik Allah. Sedangkan bertahun-tahun kita sudah berhujah, membuat keputusan dan bertindak atas suluhan buku yang kabur itu.
Ah, boleh jadi ia satu amalan, yang kita anggap sangat menyelamatkan. Mungkin juga satu gelar kesolehan, 'status ibadah' atau 'status sosial' yang begitu menenteramkan, melegakan, namun tanpa disedari itulah terowong bagi ujub, riyak dan sum’ah mencelah.
Rasa baik, tenteram dan aman yang 'dihadiahkan' oleh amal dan gelar itu rupa-rupanya membawa kita ke daerah 'rasa tidak atau kurang berdosa' – satu jurang yang paling ditakuti oleh para solihin dan mukminin.
Cari-carilah di mana kecintaan mu yang mungkin membutakan mata hati mu. Belajar dari kisah Nabi Ibrahim AS dan isteri Hajar, belajarlah dengan rentetan peritiwa Nabi Ibrahim As dengan anaknya, tatkala diperintahkan menyembelih kecintaannya Nabi Ismail AS – seorang anak yang soleh, taat dan setia manakan mungkin menjadi hijab cintanya kepada yang Esa?
Namun, Allah menguji Nabi Ibrahim AS, agar mengutamakan cinta Allah daripada yang lain. Siapa sangka Ibrahim yang pernah tega 'menyembelih' kebencian pada wajah ratusan berhala, kemudian di perintahkan menyembelih 'kecintaan' di wajah anaknya sendiri?
Sahabatku, saya seperti kamu. Kerap dibutakan oleh cinta. Siapakah 'Hajar-Hajar'dalam hidup kita?
Siapakah 'Ismail-Ismail' dalam hidup kita?
Carilah semua itu di sebalik pendirian, prinsip, gelaran, jawatan, amal, isteri, teman dan segala yang menjadi kesayangan mu.
'Sunting' tulisan hidup mu dengan imbasan dan suluhan doa. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kita panduan dan keberanian untuk jadi seperti Ibrahim AS… 'Kill your darling' dalam kehidupan!
Sering kita alpa, bahawa yang paling kita cinta itulah kerap menjadi hijab untuk mendapat CINTA.
Bukan untuk menimbulkan pertentangan apalagi dilema antara cinta manusia dengan cinta Allah…
Tetapi selalunya begitulah kita teruji. Lepaskanlah cinta yang kecil untuk mendapat cinta yang lebih besar. Apabila kita mendapat cinta yang besar, cinta yang kecil akan menyerah dengan rela.
Apakah nabi Ibrahim AS kehilangan Ismail yang rela dikorbankannya? Tidak, bila dia 'lepaskan' Ismail, Ismail kekal menjadi anak yang dincintainya. Malah dia dikurniakan seekor kibasy yang gemuk sebagai hadiah dan barakah kesediaannya mengorbankan Ismail AS. Allah mengajar kita supaya 'kill your darling' bukan untuk mendera, tetapi begitulah yang dinamakan cinta… sentiasa menagih ujian.
Selepas diuji layaklah seorang hamba Allah mendapat cinta dan CINTA (sekaligus) kerana berjaya 'mengorbankan' cinta demi CINTA!
syukran :) atas tarbiyahnya
salam.. im so touched with this article.. keep it up!!
teringin mahu jadi isteri seperti itu juga.