toqki




Berat rasa hati mahu menulis bab rumahtangga walaupun pada hakikatnya saya sudah pun berumahtangga dan jika anda perhatikan terlalu sedikit rasanya tulisan saya berkenaan isu rumahtangga, atau hubungan suami isteri.

Yelah, ada waktu dan ketika saya kadang-kadang hampir sahaja terlupa saya ini suami orang!!:)

Tulisan kali ini saya hanya me'riwayat'kan satu isu yang pernah saya bualkan bersama abang angkat (Azhar namanya) saya dimusim percutian yang lepas.



............


Satu cerita : Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang membisik, bisikan berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang terkeluar dari mulut.

Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dibilang dengan jari. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.

(saya dan abang Azhar)


Abang Azhar kata "gitulah resmi lelaki, enta kena ingat tu zie!"

Semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan.

Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.


Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta.

Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu.

Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.

Dalam perbualan kami itu, secara bergurau abang Azhar sempat sahaja menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila sudah berumahtangga , sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami(bukan semualah, saya tak macam tu pun) :)

Mengapa? Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita pendiam menjadi peleter yang tidak pernah kenal erti rehat.

Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam(senyuman saya masih lagi lebar dan terus lebar)

Kesukaran tugas dan beban tanggungjawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.


(zaman bujang yang sudah berlalu)


Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!

Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan.

Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumahtangga.


Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati.

Benarlah kata hukama,

perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.

Apa maksud tanggungjawab?

Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita “tanggung” di dunia, “disoal” di akhirat dan mesti kita jawab di hadapan Allah SWT kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggung-jawab.

Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun seorang isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.

Telah sering kita diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya ialah mencari keredaan Allah.

Rumahtangga hakikatnya adalah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredaan-Nya. Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat.

Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Bila ini menjadi asas dan terasnya, maka itulah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggung jawab.

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggungjawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumahtangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggungjawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur.

Sebaliknya, jika ada tanggungjawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumahtangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggungjawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan.


Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggungjawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar.

Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggungjawab, yang mampu bertahan ketika 'cuaca' rumahtangga tenang ataupun bergelombang.

Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali.

Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah.



Seorang pakar motivasi pernah mengatakan ;

"Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan"

Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri.

Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga.

Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.

Oleh itu, tunggu apa lagi?

Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan “fail lama” untuk mencipta keserasian baru.

Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini.

Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.

Membina cinta ketika tarikan fizikal sudah menurun , ianya memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman?

Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggungjawab. Walaupun berat terasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah.

Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak atau masalah yang dihadapi, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunnah.

Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.


Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggungjawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan KETIKA ITU CINTA , ketenangan dan kebahagiaan akan berpaut kembali harum dan mewangi!

Tip untuk bertanggungjawab:

* Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita adalah milik Allah bukan milik kita.
* Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
* Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
* Sering melakukan solat istikharah dan hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
* Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggung jawab dengan perintah Allah.
* Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksanya jika mengabaikan tanggung jawab.
* Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati… itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.

toqki : saya mahu lebih bertanggungjawab!!

Pernikahan menyingkap tabir rahsia
Suami isteri inginkan keluarga yang bahagia
Dan mengharapkan sebuah bahtera indah
Untuk bersama belayar ke muara

Pernikahan, menginsafkan kita
Perlunya iman dan takwa, meniti sabar dan redha
Bila masa senang syukuri nikmat Tuhan
Susah mendatang tempuhi dengan tabah

Isteri janji telah dipateri
Diijab kabulkan dan dirahmati
Detik pertemuan dan pernikahan
Yang dihujani air mata kasih
Demi syurga Ilahi


Suami jangan menagih setia
Umpama Hajar dan setianya Zulaikha
Terimalah seadanya yang terindah
Di lubuk hatimu
Isteri adalah amanah buatmu

Pernikahan mengajar tanggungjawab bersama suami dan isteri

Isteri hamparan dunia
Suami langit penaungnya
Isteri ladang tanaman
Suamilah pemagarnya
Isteri bagai kejora
Suami menjadi purnama
Tika isteri beri hempedu
Suami tabah menelannya

Tika suami terteguk racun
Isteri carilah penawarnya
Sungguh isteri rusuk yang rapuh
Berhati-hatilah meluruskannya



Cetak Artikel Ini
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

10 Responses
  1. kawan lama Says:

    salam

    wah, ko dah blh jd pakar motivasi ni. bgus2


  2. ouh..
    salam toqki
    nice post..
    hurm, bole jd peringtn ntok masa depan..
    huhu..

    **risau2**


  3. toqki Says:

    wslm

    to kawan lama:

    sapa ni? saya hanya menyampai je, bkn pakar motivsi:)

    to nisa :

    syukran, pujian hanya pada Allah. betol tu,beringatlah dr sekarang:)


  4. elok sangat bagi yg akan berumahtangga atau telah berumahtangga baca buku tulisan Dr. John Gray,"Men r from mars,women r from venus" sbgmana yg disyorkan Ust Hasrizal...mmg berbezalah Martians and Venusians, tapi jika saling memahami insya Allah berbahagia hingga ke syurga.

    Smg toqki dan adik Hura diberkati selama-lamanya.amiinn...


  5. toqki Says:

    tq kak afzan:) bilalah kak afzan nk kawen ni..


  6. Dzuu Haniin Says:

    hbt kakandaku(wlupun kekadang tak matang..haha.yg sebenarnya itulah penyulamnya bukan?).tp ape pun moga trus dilimpahi rahmat Allah..peringatan untuk 10 thn nnt...


  7. Anonymous Says:

    tq..artikel ni..memuhasabah diri ana & suami..insyaAllah


  8. toqki Says:

    semoga semua blh manfaat


  9. Anonymous Says:

    muslimat 4 TIS..

    slm ziarah n slamt b'temu kembali..
    rupenye da kwin..sy dpt thu pun dr mmbr2 hok stdy kt msir,katenye cik nur azizi da kwin..
    pape pun slamat maju jaya dlm menjalani kehidupan berumah tgga..juga selaku hamba Allah di alam fana ini..sampaikan slam perkenalan sy pd org umh awk..
    SY DI FACEBOOK:FIGHTING_369@YAHOO.COM


  10. salam..
    pautan majalah "SOLUSI" ya?


Post a Comment