Ummi Ayah jauh nun disana...air mata dan mushaf jua dijadikan teman sebagai ganti melepaskan rindu dendam.

Terima kasih Ummi Ayah, sabar melayan anakmu yang nakal ini.
JOM TALAQI : Daurah musim panas :
1. Matan Abi syuja' (Fiqh Syafie') - Lepas Asar - Masjid Al-Azhar. Setiap hari : Isnin, khamis & sabtu - Syeikh Syaltut
2. Matan Waraqat(Usul Fiqh) - Mudhoyafah - 5 petang - Setiap hari Rabu
3. Matan Al-Jurumiyah(Nahu) - Mudhoyafah - 3 Petang - Setiap hari Isnin.
P/S : Jangan lupa kelas Syeikh Yusri Al-Hasan -Masjid Asyraf ,Muqttam, setiap hari lepas subuh -Sunan Abi Daud (Hadis)
Jadual Kelas Am yang lain berjalan seperti biasa, sekian.
Saya tidak pasti apa punca yang membuatkan lama saya tidak menulis. Mungkin, jika hendak diletakkan alasan pasti menjadi seribu.
Ya, saya manusia biasa sahaja sahabat-sahabat, hakikatnya ada waktu dan ketika pasti akan menempuhi fenomena 'up and down', diuji turun naiknya IMAN.
Ada ketikanya, saya rasakan apa yang saya lakukan semuanya tak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang bertimpa-timpa
Bangun Subuh lewat, ngulang Quran tinggal, solat resah, baca buku dan talaqi pun malas, tayar motosikal meletup , bergaduh dengan arab dan macam-macam lagi.
Jadi, kalau demikian ceritanya, apa yang sebenarnya tidak kena ni? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.
Pernahkah sahabat dengar ungkapan yang berbunyi takdir sentiasa mengatasi tadbir.?
Takdir itu daripada Allah manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya. Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah…
Maka 'Jabariah' dalam hidup itu, atau mengaku super power hingga terjebak dalam 'Qadariah' ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah itu bukannya pegangan kita.
Kita umat pertengahan – ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!
Dalam apa jua keadaan, seorang hamba hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri sendiri.
Tanpa disengajakan rupanya banyak kali kita tersilap , kita hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Itu salah rupanya, Sunahtullahnya tidak begitu.
Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan apa jua masalah pun, hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita.
Bilakah agaknya hati ini mampu tenang dan tenteram?? Hati ini terlalu busuk dengan nanah yang membusuk, hati benci mati, maka itu petanda jelas bahawa aku belum cukup mencintai Ilahi.
Apakah cukup sekadar dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, perasaan sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lalu, dosa kini dan dosa akan datang.
Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan sengsara oleh satu pertanyaan:
Bila aku akan matang?
Wahai diri, milikilah kematangan rasa. Jangan sekali-kali bertindak ‘terlalu’. Samada terlalu ‘mahu’ atau terlalu ‘benci’. Kesederhanaan itu selalu menyelamatkan.
Jiwa dibiarkan buruk dan gelap, hati terus dipaluti penyakit hati yang membusuk, pakaian sering bertukar ganti, agar gah dilihat manusia, rumah ditukar langsir, dicat baru dan dihiasi perabot pelbagai jenama, tapi sayang jiwa berterusan terus kusam, kelam dengan mazmumah yang terus bermaharajalela.
Duhai diri, apakah kamu lupakan mati? Di mana Qalbun Salim (hati yang sejahtera) yang menjadi penjamin mu di Hari yang tidak berguna semua saudara dan segala harta?
Di hadapan Kaabah seorang suami berdoa agar Tuhan memperkenankan hajatnya untuk berpoligami. Di tempat yang sama si isteri pula berdoa agar Allah menghalang hajat suaminya.
Doa keduanya saling bertentangan. Namun kedua-duanya sama ikhlas. Hati mereka sama-sama suci. Isteri berdoa agar suaminya tidak berpoligami bukan kerana menolak hukum Allah tetapi kerana dirasakan dirinya tidak mampu menanggung ujian.
Dia menerima dari segi ilmu dan hukum, tapi apakan daya, diri tidak kuat melaksanakannya. Manakala si suami pula bukan didorong kerakusan nafsu atau hendak berfoya-foya, tetapi benar-benar ikhlas atas sebab-sebab yang syari’e.
Lalu, doa siapakah yang akan diperkenankan Tuhan?
Jika kedua-duanya sama-sama ikhlas, maka Allah akan tentukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka. Jika berpoligami itu yang terbaik untuk mereka berdua maka itulah yang akan ditakdirkan berlaku. Sungguhpun kelihatannya hajat suami yang diperkenankan, tetapi poligami itu cepat atau lambat, pasti akan membawa kebaikan juga kepada siisteri yang tidak mahukannya.
Sebaliknya, jika poligami itu tidak baik untuk keduanya, maka Allah tidak akan takdirkan poligami itu berlaku.
Mungkin pada awalnya, hanya si isteri menarik nafas lega kerana doanya diperkenankan, namun insya-Allah, si suami yang gagal berpoligami itu pun nanti akan mendapat kebaikan (walaupun hajatnya tidak kesampaian).
Doa siapa yang akan diperkenankan? Itu tidak pasti. Yang pasti ialah apa yang terbaik untuk keduanya akan berlaku. Apakah pengajaran di sebalik persoalan di atas?
Ibarat kipas yang berpusing. Berpusinglah selaju mungkin tetapi mestilah terikat kukuh pada dinding atau syiling. Jika pengikatnya longgar, alamatnya hancurlah kipas yang berpusing itu. Maka begitu jualah akal manusia, syiling atau dindingnya sandarannya ialah wahyu. Manakala pengikatnya ialah tauhid.
Selepas Subuh tadi, saya membelek-belek kembali diari lama saya semasa menuntut di Maahad. Terjumpa banyak lembaran-lembaran tulisan yang tidak pernah saya ketengahkan. Hanya untuk tatapan peribadi. Antaranya, saya ketemu catatan yang saya kutip dari buku-buku yang saya baca.
Saya akui, rasa takut, resah dan “lemah jiwa” yang sering menghantui hidup saya sebelumnya dapat sedikit sebanyak dikikis melalui pengalaman pahit itu.
Ya, pahit… tapi ubat. Syukur ya Allah, dalam derita itu saya banyak belajar… hidup itu adalah roda. Inilah catatan itu:
HANYA UNTUK HARI INI.
Maha suci Allah, yang misteri ketentuan dan ketetapan-Nya tidak dapat di duga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, “God always move in a mysterious way…”
Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Cuba kita lihat contoh popular di kalangan figure ternama dan popular. Dapatkah Anwar Ibrahim misalnya, menjangka beliau akan digelar OT (orang tahanan) di kem tahanan kemunting padahal dia seorang pemimpin pelajar? Kemudian dia menjadi TPM, kemudian ditahan lagi sebagai OB (orang banduan) di penjara Sungai Buluh. Setelah itubebas, menjadi MP dan kini dia ada kemungkinan akan ditahan semula?
Sudah tentu juga mendiang Boon Siew tidak dapat menjangka akan menjadi seorang “bilionare” semasa masih menjual belon angin di awal karier perniagaannya. Dan paling agung, Nabi Musa AS – dibesarkan dalam istana Firaun, berkelana di padang pasir, menjadi gembala kambing dan dilantik menjadi rasul… Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Diri yang disanjung dan dipuja, dicaci nesta secara tiba-tiba!
Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang. Pada hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya. Benar firman Allah, setiap kesusahan akan diiringi kesenangan, setiap kesenangan akan diiringi kesusahan.
Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat.
Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.
Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok. Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar.
Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy.”
Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak.
Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir.
Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini.
Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu.
Mengapa?
Kata orang, itulah penangan ‘air tangan’. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak ‘terlarut’ bersama bahan-bahan masakan.
Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu?
Jika ada manusia yang berkata,
"Alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia..."
Maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.
Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya.
Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara 'kesihatannya' agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya.
Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa si 'dia' adalah amanah dan anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup sepanjang episod kembara kita di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.
"Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih… mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh “kedutan” itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu “mercu tanda” pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita"
Mungkin si kaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang “permaisuri”. Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang “orang gaji”. Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!
UNTUKMU SAYANG
Sungguh aku tidak akan mensia-siakan mu
Masakan dalam diri ini aku bisa lupa
Pada orang tersayang yang banyak berjasa
Aku tidak akan lupa
Dalam suka dan duka ku
Sentiasa kau disisi ku
Dalam bangun dan jatuh ku
Kau sentiasa memujuk ku
Kau ku sayang…
Itulah teman ku sepanjang jalan
Kekasih,
Kekadang lidah terlalu cepat melontar kata
Membuatkan hati mu sering sahaja terluka
Badan mu penat melayan karenah ku
Tapi kau tetap menerima ku
Bila berjauhan sesaat,
sendu itu memuncak,
Ingin ku dakap,
Ingin ku peluk,
Tidak mahu ku lepaskan
Mahu sahaja ku menjerit nama mu
Cinta itu semakin kukuh…
Sayang,
Aku tidak pernah meluahkan
Bila jemu, letih dan putaran hidup kian mencengkam
Tetapi percayalah…
Cinta ku tidak pernah letih
Sayang ku tidak pernah padam
Rindu ku tidak pernah hilang
Dalam sunyi dan ratap
Engkau tetap hadir dalam doa dan harap
Ya, Allah..
Rahmatilah kekasih hati ku di bumi
Agar cinta kami membumbung tinggi
Tiada sempadan, tiada tara,
sampai syurga!
Amin.
Bulan ini membuatkan saya betul kesempitan, bukan sempitnya duit, tapi kesempitan masa. Dek gara-gara peperiksaan yang menjelma.
'Ala kullia hal, saya ucapkan jutaan terima kasih diatas kesudiaan sahabat-sahabat semua yang setia menjenguk dan memberikan komentar di blog ini.
Khususnya pengunjung setia blog
T O Q K I Z O N E ini.
Mereka itu adalah:
1. Kak Afzan (azansubuh) 25 kali menjenguk saya untuk bulan ini.
2. Ustaz Din Tantawi (episod sebuah perjuangan) 21 kali - saya tak sangka Us Din acapkali masuk blog ana :)
3. tinta-aisya (zaujah ustaz Faisal) 20 kali
4. Ustazah Zaleha(Bisikan Semalam) 17 kali
5. Anas (adik saya) 16 kali
Subuh ini membuatkan saya leka membaca beberapa muqarar (sukatan) dari kitab nihayah as-sul untuk peperiksaan esok dan secara tidak sengaja hati dan pemikiran saya seolah-olah terbang mengembara dalam satu perjalanan yang jauh entah ke mana.
Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah aku akan berjaya atau telah berjaya?
Ini soalan yang tidak relevan, hati saya memberi jawapan tanpa dipinta.
Orang yang berjaya tidak sempat bertanya apakah aku telah berjaya seperti mana orang yang bahagia tidak akan bertanya apakah saya bahagia?
Di mana ukuran kejayaan ku? Aku gagal atau berjaya?
Sering dibisikkan dihati, kejayaan itu apabila tercapai tujuan hakiki dalam hidup. Lalu apakah tujuan hidup itu?
Alhamdulilah, itulah ucapan yang mampu saya ungkapkan setelah melangkah keluar dari dewan peperiksaan hari ini.
Walaupun ada sedikit gementarnya, tapi ketenangan yang saya rasa sungguh mententeramkan...dan perasaan tenang itu menjadi lebih indah setelah membersikan anggota yang 4 dan terus mengadu cinta dan rindu pada-Nya. Indahnya merasakan ketenangan anugerah Mu itu ya Allah!!
Banyak benda hari ini saya belajar, saya sangat bahagia hari, sungguh saya terlalu bahagia hari ini. Apa sebab? Saya tidak pasti, betul!
Amat tepatlah bahawa apa yang kita fikirkan, selalunya sangat mempengaruhi hati dan suasana yang ada disekeliling kita. Justeru, jika kita ingin mengetahui bagaimanakah keadaan pemikiran kita – sama ada positif atau negatif, kesanlah perasaan kita.
Ceria atau nestapa. Jika ceria, insya-Allah itu petanda fikiran kita positif dan insya-Allah tindakan-tindakan kita pun akan jadi positif juga. Tindakan yang positif, akan menghasilkan natijah yang positif.
Semalam saya sempat mengusik isteri saya dengan mengatakan begini padanya,
"cuti musim panas ni, sayang balik Malaysia seorang jelah, tolong ayah di kampung.. abang nak stay sini, abang nak talaqi!!"
Isteri saya diam seketika, cuba menelan air liur dan terus melontarkan senyuman kelat-kelat, masin pada saya.
"Takpe, nur tak kisah..abang laki, abang kena belajar lebih lagi dari nur...nur sanggup jadi seperti Siti Hajar bang! "
Lebar bibir saya tersenyum mendengarkan ungkapan sebegini, hati saya lega campur bangga memiliki isteri sepertinya, walaupun pada hakikatnya saya sengaja mahu tahu apa reaksinya, marahkah? Merajuk kah dia...
Itu cerita saya dan isteri...
Dulu-dulu sebelum saya berangkat ke Mesir, saya sempat mengetahui beberapa teknik atau cara-cara 'menyuntik' daya tarikan pada tulisan kita. Antara tekniknya ialah dinamakan sebagai 'Kill your Darling'.
“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”
Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazal tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad.Contoh lain Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya.
“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi darjatnya daripada seorang profesor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ profesor itu lebih panjang daripada umur seorang driver lantaran ilmu dan amalanya yang lebih tinggi dan berharga!”
Berat rasa hati mahu menulis bab rumahtangga walaupun pada hakikatnya saya sudah pun berumahtangga dan jika anda perhatikan terlalu sedikit rasanya tulisan saya berkenaan isu rumahtangga, atau hubungan suami isteri.
Yelah, ada waktu dan ketika saya kadang-kadang hampir sahaja terlupa saya ini suami orang!!:)
Tulisan kali ini saya hanya me'riwayat'kan satu isu yang pernah saya bualkan bersama abang angkat (Azhar namanya) saya dimusim percutian yang lepas.
Semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan.
Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.
Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan.
Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumahtangga.
Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini.
Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.
Membina cinta ketika tarikan fizikal sudah menurun , ianya memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman?
Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggungjawab. Walaupun berat terasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah.
Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak atau masalah yang dihadapi, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunnah.
Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.
Pernikahan menyingkap tabir rahsia
Suami isteri inginkan keluarga yang bahagia
Dan mengharapkan sebuah bahtera indah
Untuk bersama belayar ke muara
Pernikahan, menginsafkan kita
Perlunya iman dan takwa, meniti sabar dan redha
Bila masa senang syukuri nikmat Tuhan
Susah mendatang tempuhi dengan tabah
Isteri janji telah dipateri
Diijab kabulkan dan dirahmati
Detik pertemuan dan pernikahan
Yang dihujani air mata kasih
Demi syurga Ilahi
Suami jangan menagih setia
Umpama Hajar dan setianya Zulaikha
Terimalah seadanya yang terindah
Di lubuk hatimu
Isteri adalah amanah buatmu
Pernikahan mengajar tanggungjawab bersama suami dan isteri
Isteri hamparan dunia
Suami langit penaungnya
Isteri ladang tanaman
Suamilah pemagarnya
Isteri bagai kejora
Suami menjadi purnama
Tika isteri beri hempedu
Suami tabah menelannya
Tika suami terteguk racun
Isteri carilah penawarnya
Sungguh isteri rusuk yang rapuh
Berhati-hatilah meluruskannya