toqki


Menghafaz Al-quran diusia yang sangat muda memang payah. Walaupun dirotan , dibedal, oleh sang Ustaz berkali-kali pun masih tak lekat-lekat juga hafazannya.

Ummi Ayah jauh nun disana...air mata dan mushaf jua dijadikan teman sebagai ganti melepaskan rindu dendam.


Sungguh tak rugi menghafaz dikala usia begini. Ada pepetah arab yg berbunyi :

التعلم في الكبار كالراقم على الماء والتعلم في الصغار كالنقش على الحجر

"Belajar ketika tua umpama mengukir sesuatu diatas air, dan belajar ketika muda belia umpama mengukir sesuatu diatas batu(payah tapi tahan lama memorinya)"

Terima kasih Ummi Ayah, sabar melayan anakmu yang nakal ini.

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

toqki



JOM TALAQI : Daurah musim panas :

1. Matan Abi syuja' (Fiqh Syafie') - Lepas Asar - Masjid Al-Azhar. Setiap hari : Isnin, khamis & sabtu - Syeikh Syaltut

2. Matan Waraqat(Usul Fiqh) - Mudhoyafah - 5 petang - Setiap hari Rabu

3. Matan Al-Jurumiyah(Nahu) - Mudhoyafah - 3 Petang - Setiap hari Isnin.

P/S : Jangan lupa kelas Syeikh Yusri Al-Hasan -Masjid Asyraf ,Muqttam, setiap hari lepas subuh -Sunan Abi Daud (Hadis)

Jadual Kelas Am yang lain berjalan seperti biasa, sekian.

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 2 comments | | edit post
toqki

Saya tidak pasti apa punca yang membuatkan lama saya tidak menulis. Mungkin, jika hendak diletakkan alasan pasti menjadi seribu.

Ya, saya manusia biasa sahaja sahabat-sahabat, hakikatnya ada waktu dan ketika pasti akan menempuhi fenomena 'up and down', diuji turun naiknya IMAN.

Ada ketikanya, saya rasakan apa yang saya lakukan semuanya tak kena. Pada hari, minggu atau bulan yang malang itu, kecelakaan seolah-olah datang bertimpa-timpa

Bangun Subuh lewat, ngulang Quran tinggal, solat resah, baca buku dan talaqi pun malas, tayar motosikal meletup , bergaduh dengan arab dan macam-macam lagi.

Jadi, kalau demikian ceritanya, apa yang sebenarnya tidak kena ni? Hendak bermula dari mana? Wah, pening kepala dibuatnya.


Pernahkah sahabat dengar ungkapan yang berbunyi takdir sentiasa mengatasi tadbir.?

Takdir itu daripada Allah manakala tadbir daripada manusia yang lemah tidak berdaya. Namun itu bukan bererti kita lemah dan pasrah…

Maka 'Jabariah' dalam hidup itu, atau mengaku super power hingga terjebak dalam 'Qadariah' ketika merasakan diri bebas daripada ikatan Allah itu bukannya pegangan kita.

Kita umat pertengahan – ahli sunnah yang gigih mengatur sebaik tadbir, sekali gus menghulur setulus doa untuk dikurniakan Allah sebaik takdir!

Dalam apa jua keadaan, seorang hamba hendaklah faham bahawa bila keadaan tidak seperti yang diingini, langkah kita bukanlah mengubah keadaan itu tetapi terlebih dahulu mengubah diri sendiri.

Tanpa disengajakan rupanya banyak kali kita tersilap , kita hendak mengubah keadaan luaran sebelum mengubah diri sendiri. Itu salah rupanya, Sunahtullahnya tidak begitu.

Dalam apa jua kondisi, mengubah diri itu perlu diutamakan kerana itulah yang akan mengubah keadaan yang kita hadapi. Jadi, apabila berdepan dengan apa jua masalah pun, hendaklah diingat, ubahlah diri kita sebelum cuba mengubah perkara-perkara yang di luar diri kita.


Tegasnya, kejayaan yang diraih, atau kegagalan dan masalah yang menimpa dapat ditelusuri jauh ke dalam diri, arkitek sebenar di sini ialah diri kita sendiri, bukan orang lain.

Semua manusia mempunyai diari dan catatan perjalanan sendiri, bagi mereka tanggungjawab adalah beban dan memberi masalah. Padahal, tidak seorang pun tidak pernah merasakan kebebasan setelah berani memikul sesuatu amanah. Amanah kita sekarang ialah terhadap diri dan agama.

Ramai di kalangan kita, masih tercari-cari ‘pulau persinggahan’ sebenar, secocok dengan diri, kehendak diri, naluri iman. Perahu yang dikemudi tidak selama-lama berdaya mengayuh melawan badai mendatang, tapi bila mengenangkan nasib diri nun masih jauh lagi meneropong pulau persinggahan idaman, serasa sudah hilang minat untuk mengayuh, biarlah mati keseorangan di tengah-tengah samudera bahaya, tenggelam dipukul ombak.

Dalam suka ada sengsara, dalam duka pula ada kebahagian. Setiap daripada kita ada jalan cerita sendiri, dan rakaman hidup pada kedua-dua keadaan ini.

Sebaik sahaja, diri dilahirkan di dunia, mahu atau tidak kita pasti berhadapan susahnya menghabiskan sisa-sisa hidup. Orang yang hidup lebih dahulu daripada kita hanya mampu tinggal pesan, suri teladan agar kita mampu mentadbir diri, dan keluarga.

Buatlah pilihan terbaik pada diri kita, tinggal lagi mahu atau tidak.

toqki : Esok peperiksaan syafawi (lisan) doakan saya!

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

toqki



Bilakah agaknya hati ini mampu tenang dan tenteram?? Hati ini terlalu busuk dengan nanah yang membusuk, hati benci mati, maka itu petanda jelas bahawa aku belum cukup mencintai Ilahi.

Apakah cukup sekadar dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, perasaan sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lalu, dosa kini dan dosa akan datang.

Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan sengsara oleh satu pertanyaan:

Bila aku akan matang?



Di malam hari, tidurku tampak lena. Manusia kira aku nyenyak dibuai enak dengan ulik mimpi bersama bidadari.

Tetapi hakikatnya yang kutimbang adalah soal hati. Hati yang masih tamak. Hati yang hanya ingin menerima tetapi begitu sukar memberi. Yang kucongak adalah nafsu serakah yang tak pernah puas.

Namun hakikatnya, neraca muhasabah ini ialah antara mahmudah dan mazmumah. Aku boleh menipu mereka disekelilingku, tetapi mampukah aku menipu diri sendiri? Lebih-lebih lagi mampukah aku menipu Ilahi?

Sukarnya hati ini ingin berpaut pada dahan-dahan mahmudah, sifat qanaah – hati yang berpada-pada dengan apa yang ada, rasa cukup apa yang. Sedikit, mencukupi. Banyak, boleh diagih-agihkan.

Pernah aku berjanji dengan diri sendiri, agar menjaga keinginan agar tidak melewati batas-batas keperluan. Jangan sekali-kali terjerumus ke jurang pembaziran. Keinginan yang melampaui batas, jika tidak dapat dikawal akan mengundang resah jiwa. Gejolaknya akan terus mengganggu. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas.


Fitrah yang tak pernah puas!!!

Aku tersiksa kerana itu!

Kemudian aku terjaga dari mimpi, bahawa kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’.

Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya.

Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan terhadap dunia dan manusia bukan dengan meningkatkan keperluan kepada keduanya.


Wahai diri, milikilah kematangan rasa. Jangan sekali-kali bertindak ‘terlalu’. Samada terlalu ‘mahu’ atau terlalu ‘benci’. Kesederhanaan itu selalu menyelamatkan.


Jiwa dibiarkan buruk dan gelap, hati terus dipaluti penyakit hati yang membusuk, pakaian sering bertukar ganti, agar gah dilihat manusia, rumah ditukar langsir, dicat baru dan dihiasi perabot pelbagai jenama, tapi sayang jiwa berterusan terus kusam, kelam dengan mazmumah yang terus bermaharajalela.

Duhai diri, apakah kamu lupakan mati? Di mana Qalbun Salim (hati yang sejahtera) yang menjadi penjamin mu di Hari yang tidak berguna semua saudara dan segala harta?


Ya Allah, uzlah aku dari kejahatan diri agar tidak menjangkiti orang lain. Qanaah kan aku agar tidak hasad pada nikmat yang diberi kepada yang lain. Sabar aku dengan karenah insan yang menjadi 'bahan uji'Mu untuk dijadikan tarbiyah bagiku. Syukur aku pada nikmat yang ada tanpa mengenang apa yang tiada. Pemaaf aku pada kejahatan insan sebagai karma kejahatanku pada mereka.

Ya Allah, aku belum sampai tahap itu...tetapi sungguh, aku telah mulakan perjalanan. Walau susah sungguh, untuk pasrah padaMu, penuh seluruh! Lihat aku, kesihanilah aku, kutip aku… wahai Al A’fu

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 2 comments | | edit post
toqki



Di hadapan Kaabah seorang suami berdoa agar Tuhan memperkenankan hajatnya untuk berpoligami. Di tempat yang sama si isteri pula berdoa agar Allah menghalang hajat suaminya.

Doa keduanya saling bertentangan. Namun kedua-duanya sama ikhlas. Hati mereka sama-sama suci. Isteri berdoa agar suaminya tidak berpoligami bukan kerana menolak hukum Allah tetapi kerana dirasakan dirinya tidak mampu menanggung ujian.

Dia menerima dari segi ilmu dan hukum, tapi apakan daya, diri tidak kuat melaksanakannya. Manakala si suami pula bukan didorong kerakusan nafsu atau hendak berfoya-foya, tetapi benar-benar ikhlas atas sebab-sebab yang syari’e.

Lalu, doa siapakah yang akan diperkenankan Tuhan?



Wah, payahnya mengukur kemisterian takdir di neraca fikiran tadbir. Walau hanya andaian, namun hati kecil tetap inginkan kepastian.

Bagaimana ya? Mungkin jawapannya begini…

Jika kedua-duanya sama-sama ikhlas, maka Allah akan tentukan yang terbaik untuk kedua-dua mereka. Jika berpoligami itu yang terbaik untuk mereka berdua maka itulah yang akan ditakdirkan berlaku. Sungguhpun kelihatannya hajat suami yang diperkenankan, tetapi poligami itu cepat atau lambat, pasti akan membawa kebaikan juga kepada siisteri yang tidak mahukannya.

Sebaliknya, jika poligami itu tidak baik untuk keduanya, maka Allah tidak akan takdirkan poligami itu berlaku.

Mungkin pada awalnya, hanya si isteri menarik nafas lega kerana doanya diperkenankan, namun insya-Allah, si suami yang gagal berpoligami itu pun nanti akan mendapat kebaikan (walaupun hajatnya tidak kesampaian).

Doa siapa yang akan diperkenankan? Itu tidak pasti. Yang pasti ialah apa yang terbaik untuk keduanya akan berlaku. Apakah pengajaran di sebalik persoalan di atas?


Ya, Allah sahaja yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Dengan akal manusia diberi keupayaan untuk menilai yang mana baik, yang mana buruk, tetapi sebijak mana pun akal kemampuannya tetap terbatas. Justeru manusia tetap perlukan wahyu untuk memandu akalnya. Tegasnya, manusia yang ‘tidak serba tahu’ ini sentiasa perlukan Tuhan yang Maha Mengetahui untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.

Hakikat ini telah Allah tegaskan melalui firman-Nya:

“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya” Al Baqarah 216

Hakikat itu mesti sentiasa terpahat dalam hati dan fikiran manusia setiap kali berdepan dengan apa jua persoalan dalam hidupnya.



Berbincang, berusaha dan putuskanlah apa sahaja tetapi persoalan tauhid mestilah menjadi dasar pemikiran dan asas pertimbangan kita.

Tuhan telah menentukan yang mana yang benar dan batil, mana yang betul dan salah, mana yang baik dan buruk. Akal manusia yang terbatas itu mestilah digunakan dalam batas-batas itu. Kebebasan akal terletak dalam lingkungan hukum Allah. Jika keluar dari lingkungan itu, bukan bebas yang dinikmati tetapi terbabas.

Ibarat kipas yang berpusing. Berpusinglah selaju mungkin tetapi mestilah terikat kukuh pada dinding atau syiling. Jika pengikatnya longgar, alamatnya hancurlah kipas yang berpusing itu. Maka begitu jualah akal manusia, syiling atau dindingnya sandarannya ialah wahyu. Manakala pengikatnya ialah tauhid.


Justifikasi yang sama mesti digunakan dalam perbincangan tentang semua isu, tidak kira isu poligami, hudud, murtad dan lain-lain lagi.

Akidah mestilah mendasari setiap perbincangan, keputusan dan tindakan. Kuasa mutlak Tuhan dalam menentukan sesuatu yang baik, benar dan betul jangan dilanggar apalagi dicabar.

Tidak mengapa, jika akal belum nampak akan kebaikan sesuatu hukum Allah. Tetapi ingat, itu bukanlah bererti hukum Allah itu tidak baik tetapi akal sesetengah manusia yang belum mampu melihat akan kebaikan itu.

Sepertimana kita mampu melihat seluruh bintang di langit, bukan kerana bintang itu tidak ada ataupun ia tidak bercahaya, tetapi pandangan kita yang dilindungi awan atau mata tidak berupaya melihat kerana kejauhan.

Begitu juga hukum Allah, tentu ada kebaikan yang menjadi sebab Tuhan mewajibkan, menghalalkan atau mengharuskannya.


Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 3 comments | | edit post
toqki

Selepas Subuh tadi, saya membelek-belek kembali diari lama saya semasa menuntut di Maahad. Terjumpa banyak lembaran-lembaran tulisan yang tidak pernah saya ketengahkan. Hanya untuk tatapan peribadi. Antaranya, saya ketemu catatan yang saya kutip dari buku-buku yang saya baca.

Saya akui, rasa takut, resah dan “lemah jiwa” yang sering menghantui hidup saya sebelumnya dapat sedikit sebanyak dikikis melalui pengalaman pahit itu.

Ya, pahit… tapi ubat. Syukur ya Allah, dalam derita itu saya banyak belajar… hidup itu adalah roda. Inilah catatan itu:

HANYA UNTUK HARI INI.

Maha suci Allah, yang misteri ketentuan dan ketetapan-Nya tidak dapat di duga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, “God always move in a mysterious way…

Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Cuba kita lihat contoh popular di kalangan figure ternama dan popular. Dapatkah Anwar Ibrahim misalnya, menjangka beliau akan digelar OT (orang tahanan) di kem tahanan kemunting padahal dia seorang pemimpin pelajar? Kemudian dia menjadi TPM, kemudian ditahan lagi sebagai OB (orang banduan) di penjara Sungai Buluh. Setelah itubebas, menjadi MP dan kini dia ada kemungkinan akan ditahan semula?

Sudah tentu juga mendiang Boon Siew tidak dapat menjangka akan menjadi seorang “bilionare” semasa masih menjual belon angin di awal karier perniagaannya. Dan paling agung, Nabi Musa AS – dibesarkan dalam istana Firaun, berkelana di padang pasir, menjadi gembala kambing dan dilantik menjadi rasul… Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Diri yang disanjung dan dipuja, dicaci nesta secara tiba-tiba!


Begitulah, hitam-putih nasib manusia, tidak dapat dijangkau dengan mata, fikiran dan rasa. Sebab itu orang tua-tua berpesan, jangan sekali-kali mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.

Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang. Pada hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya. Benar firman Allah, setiap kesusahan akan diiringi kesenangan, setiap kesenangan akan diiringi kesusahan.

Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang?

Salah satunya: Jangan panjang angan-angan. Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.

Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang-bayang dalam angan-angan.

Yang di tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar - masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti.

Saya ingin menceritakan pengalaman hidup sendiri untuk menjelaskan bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan.




Samada yang kita jangkakan itu baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi ‘over confident’. Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya memusnahkan.

Saya pasti saudara/i pembaca juga mempunyai kisah tersendiri yang relevan dengan perbincangan kita ini. Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah seumpama itu?

Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah:

Pendekkan angan-angan.

Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semala. Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.

Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat.

Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.

Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok. Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar.


Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat seperti mana yang dikatakan oleh para psilogist moden:

“Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan.”Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh sabda Rasulullah S.A.W:“Jika kamu berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang.”

Matlamat dan pendekatan hidup mereka ‘simple’ dan jelas. Mereka adalah insan praktikal dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga.

Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu tempoh hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat… semunya TEPAT pada masanya.

Pernah satu malam Rasulullah S.A.W “rimas” ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya kenapa? Baginda bersabda:

“Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.”

Itulah peribadi Rasulullah S.A.W, yang tidak berangan-angan panjang. Baginda pernah bersabda yang maksudnya, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat melepaskannya semula.

Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya.

Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan ‘masalah-masalah’ masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Dan jangan cuba hidup dalam “masa lalu”.



Sebaik sahaja mengambil pengajaran daripadanya, terus lupakan!

Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir. Dan begitu jugalah dengan masa lalu, ia telah berlalu… lalu biarkanlah ia terus berlalu!

Sekali lagi saya tegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil ‘tempat’ Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah.

Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia.

Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya?

Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya.

“masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup.”
Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini.

Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma “take it easy.”

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak.

Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir.

Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini.


Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa.

Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik. Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.

Lihatlah mentaliti orang tua-tua Melayu zaman dahulu. Pada mereka sudah ada pemikiran bertaraf wawasan (visi). Mereka sering memikirkan nasib anak cucu di kemudiaan hari. Mereka menanan pokok durian yang dijangka berbuah bertahun-tahun kemudian yang mungkin mereka pun tidak sempat merasanya. Mereka telah memafaatkan benih pokok durian lalu ditanam pada ‘hari esok’ mereka. Mereka berfikir, bukan khuatir.

Kita tidak akan dapat menikmati buah durian datuk dan nenek kita jika mereka hanya berangan-angan bahawa pada masa hadapan generasi Melayu akan terus makan durian. Atau khuatir kemungkinan tanah kebun akan tergadai menjadi kilang perindustrian.

Anda mungkin marahkan saya kerana asyik berfalsafah. Tetapi bukanlah niat saya begitu. Saya hanya ingin meyakinkan diri saya dan juga pembaca bahawa untuk selamat melalui ketika paling mencabar dalam kehidupan ialah dangan memendekkan angan-angan. Ini bukanlah falsafah yang hendak dibincangkan semata-mata.

Tetapi ilmu mesti dan boleh mengamalkannya. Mungkin ada orang yang perlukan ilmu untuk mula mengamalkannya. Mungkin juga telah dapat mengamalkannya secara semulajadi (nature) tanpa belajar akan falsafahnya. Hidup ini bukan untuk ahli falsafah sahaja. Sinisnya, ada juga ahli falsafah yang hidupnya lebih celaru berbanding juga insan yang tidak punya apa-apa ijazah.


Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip: Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan!

Justeru, di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada disisi. When God is your friend, who is your enemy?

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

toqki

Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu.

Mengapa?

Kata orang, itulah penangan ‘air tangan’. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak ‘terlarut’ bersama bahan-bahan masakan.

Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu?


Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah ‘air’ dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan ‘air tangan’. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Percaya atau tidak anda perlu menerima kenyataan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk ‘mendapat’ tetapi untuk ‘memberi’. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk ‘memberi’ kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang ‘chef’ yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.

Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.

Realitinya, ‘air tangan’ bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, pelajar, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar.

Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.

Falsafah di sebalik ‘air tangan’ inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:

“Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya “

Bak kata Us Ridwan Pauzi :

" Orang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan niat yang ikhlas natijahnya dia dan orang disekelilingnya pasti merasai hasil yang baik "



Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 4 comments | | edit post
toqki


Jika ada manusia yang berkata,

"Alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia..."

Maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.



BAHAGIA YANG DIERTIKAN

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang masih bujang , perkahwinan itulah bahagia.Bagi yang gagal kejayaan itulah bahagia.

Tetapi apabila sudah kahwin, kebahagiaan itu bukan pada perkahwinan lagi. Mungkin akan beralih kepada perkara yang lain lagi. Mahu cahaya mata, mahu isteri lebih dari satu (bukan saya, marah toqwan nanti)



Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu 'moving target' yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

SUMBER BAHAGIA

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam 'outside-in' atau dari dalam ke luar 'inside-out'?



Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama , kejayaan dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi.

UJIAN HIDUP PUNCA HILANGNYA BAHAGIA?

Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia?

Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia.

Mengapa begitu?

Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah sunnatullah hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.

Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

METAFORA AIR LIMAU DAN LUKA DI TANGAN




Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi.

Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya.

Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.

Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor 'kesihatan' hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.

INILAH ERTI BAHAGIA

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:

"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:

" Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. " (riwayat Bukhari Muslim)



Rasulullah S.A.W bersabda lagi:

"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati "

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara 'kesihatannya' agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya.

Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah.


Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 2 comments | | edit post
toqki

"Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia"


Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia.

Sesungguhnya bahagia itu bukan “benda” yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin “diberikan” akan bertambah terangnya. Kata orang, dengan menyalakan lilin kepada orang lain, lilin kita tidak akan padam… tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu.

Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.

Apakah formula mujarab untuk membahagiakan isteri?


Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa si 'dia' adalah amanah dan anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup sepanjang episod kembara kita di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.


Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun barang-barang yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu.

Itulah "modal insan" yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada perkara yang lain?

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita.



Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir.

Kata Dr Fadhilah Kamsah :

"Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih… mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh “kedutan” itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu “mercu tanda” pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita"


Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni.

Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati “turun” ke mata. Yang kita lihat bukan “body” tetapi budi.

Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi… tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan.

Love is verb – cinta itu tindakan.

Bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestapa…

Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.



Mungkin si kaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang “permaisuri”. Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang “orang gaji”. Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!


Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata.

Malangnya, kita selalu terlepas pandang. Sesuatu yang ‘terlalu’ dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai.

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi…

Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang ‘hilang’ akan berganti? Apakah ibu ayah , isteri, suami yang ‘pergi’… akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada.

Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak ‘pulang’ atau tidak ada lagi si 'dia' yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda ‘pergi’ atau dia yang ‘pergi’. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!

UNTUKMU SAYANG

Sungguh aku tidak akan mensia-siakan mu
Masakan dalam diri ini aku bisa lupa
Pada orang tersayang yang banyak berjasa
Aku tidak akan lupa

Dalam suka dan duka ku
Sentiasa kau disisi ku
Dalam bangun dan jatuh ku
Kau sentiasa memujuk ku

Kau ku sayang…
Itulah teman ku sepanjang jalan

Kekasih,
Kekadang lidah terlalu cepat melontar kata
Membuatkan hati mu sering sahaja terluka
Badan mu penat melayan karenah ku
Tapi kau tetap menerima ku

Bila berjauhan sesaat,
sendu itu memuncak,
Ingin ku dakap,
Ingin ku peluk,
Tidak mahu ku lepaskan
Mahu sahaja ku menjerit nama mu

Cinta itu semakin kukuh…

Sayang,
Aku tidak pernah meluahkan
Bila jemu, letih dan putaran hidup kian mencengkam
Tetapi percayalah…
Cinta ku tidak pernah letih
Sayang ku tidak pernah padam
Rindu ku tidak pernah hilang

Dalam sunyi dan ratap
Engkau tetap hadir dalam doa dan harap

Ya, Allah..
Rahmatilah kekasih hati ku di bumi
Agar cinta kami membumbung tinggi
Tiada sempadan, tiada tara,

sampai syurga!
Amin.


toqki : terima kasih sayang, kerna sabar mengenaliku...

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 9 comments | | edit post
toqki


Bulan ini membuatkan saya betul kesempitan, bukan sempitnya duit, tapi kesempitan masa. Dek gara-gara peperiksaan yang menjelma.

'Ala kullia hal, saya ucapkan jutaan terima kasih diatas kesudiaan sahabat-sahabat semua yang setia menjenguk dan memberikan komentar di blog ini.

Khususnya pengunjung setia blog
T O Q K I Z O N E ini.
Mereka itu adalah:

1. Kak Afzan (azansubuh) 25 kali menjenguk saya untuk bulan ini.
2. Ustaz Din Tantawi (episod sebuah perjuangan) 21 kali - saya tak sangka Us Din acapkali masuk blog ana :)
3. tinta-aisya (zaujah ustaz Faisal) 20 kali
4. Ustazah Zaleha(Bisikan Semalam) 17 kali
5. Anas (adik saya) 16 kali


Klik untuk membesarkannya


Artikel yang kerap kali dibaca bulan ini ;

1. Ketika Cinta Itu
2. Khas Untukmu Abdullah ( mungkin sebab tuannya kot, maka ramai yang berkenan baca)
3. Cinta Oh Cinta (cinta lagi, sayakan mat jiwang)
4. Apa dah jadi dengan ustaz dan ustazah kita
5. Belajar dengan si DUNGU


- Maaf, tidak ada anugerah buat anda semua, saya kesempitan waktu:)
- Terima kasih buat Qudwah kerna sudi bagi anugerah ni :)





Terima kasih daun keladi, lain kali datanglah lagi!!!



post signature

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

toqki

Subuh ini membuatkan saya leka membaca beberapa muqarar (sukatan) dari kitab nihayah as-sul untuk peperiksaan esok dan secara tidak sengaja hati dan pemikiran saya seolah-olah terbang mengembara dalam satu perjalanan yang jauh entah ke mana.

Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah aku akan berjaya atau telah berjaya?

Ini soalan yang tidak relevan, hati saya memberi jawapan tanpa dipinta.

Orang yang berjaya tidak sempat bertanya apakah aku telah berjaya seperti mana orang yang bahagia tidak akan bertanya apakah saya bahagia?

Di mana ukuran kejayaan ku? Aku gagal atau berjaya?

Sering dibisikkan dihati, kejayaan itu apabila tercapai tujuan hakiki dalam hidup. Lalu apakah tujuan hidup itu?



Ini soalan asas yang sejak dahulu telah diberitahu bahawa tujuan hidup adalah menjadi hamba kepada Allah – IBADAH.

Ah, mudahnya. Tetapi tidak semudah itu apabila istilah ibadah itu hendak ‘ditulis’ dalam kehidupan.

Sering sekali tujuan dibayangi hajat dan keperluan, hingga alat bertukar menjadi matlamat bila memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat. Acapkali hajat hidup (makan, minum, kenderaan, rumah, harta, kejayaan) bertukar menjadi TUJUAN hidup.

Padahal, tujuan itulah yang pertama dan utama. Keperluan itu hanya perkara kedua yang datang selepasnya. Tujuan itu mengabdikan diri kepada Allah penuh seluruh.

Manakala makanan, pakaian, kediaman, KEJAYAAN dan harta serta dunia segalanya hanya keperluan hidup.

Tujuan itu ialah rasa kehambaan – takut, cinta, harap, taat – seorang hamba kepada Allah.

Keperluan itu ialah alat mencapai tujuan. Tujuan itu letaknya di hati.



Manakala keperluan itu harus di letakkan di tangan. Apakah hatiku sarat dengan TUJUAN?

Atau alpa hanya memburu memperbanyakkan keperluan dan hajat-hajat nafsu yang tidak pernah kenyang??

Ah, malang sekali jika aku merasakan kejayaan itu hanya apabila tercapainya keperluan. Pada hal, hati dan diri masih jauh daripada berjinak-jinak dengan Allah.

Jiwa masih liar. Nafsu masih buas. Dan tanpa disedari sering juga keperluan dimertabatkan sebagai tujuan. Cinta Allah tersisih, takutkan Allah terpinggir, hanya kerana hajat yang dicari tanpa henti atau yang telah melimpah tanpa batas tapi tak pernah puas!

Adakah aku mencari MU bila mana aku inginkan HAJAT??

Dan lebih aneh kalau ukuran kejayaan telah tertukar tanpa sedar. Kita mengukur ertinya pada neraca keperluan hajat bukan tujuan.

Aku lebih berjaya, kalau harta, rumah dan kenderaan ku mewah dan bertambah.

Aku berjaya jika manusia memandang tinggi padaku!

Padahal di neraca tujuan, timbangan cinta, takut dan harap mu kepada Allah kian ringan.

Kekadang, pandai syaitan berkias kata, berkilas rasa… katanya, kau mencari segalanya kerana Allah jua. Kalau kerana Allah, bagaimana hati mu?

Jika benar harta dan milik mu itu kerana Allah jua, bagaimana rasa hati mu ketika mencari, mengurus dan mentadbirnya? Apakah segala-galanya diurus tadbir dengan rasa takut, cinta dan mengharap keampunan-Nya?

Bagaimana pula dengan solat mu, kian khusyuk? Bagaimana dengan puasa mu, sudah soleh? Bagaimana dengan zakat dan sadakah mu sudah luhur? Bagaimana dengan mazmumah mu telah lebur?

Hati ‘besar mu’ boleh menipu wahai diri… tetapi ‘hati kecil mu’ tidak mampu menipu.

Hati kecil mu sentiasa tidak rela dan tega untuk menipu diri sendiri! Dialah yang paling terseksa apabila kau mengukur kejayaan berdasarkan keperluan, bukan tujuan! Makanan dan ubat jiwa bukan harta… tetapi cinta. Cinta Allah dan takut kepada-Nya.


Hari semakin cerah.. Akal semakin diheret dalam kembara hati yang bersimpang-siur. Apakah destinasi ku saat ini? Apakah tujuan atau keperluan? Hati besar dan hati kecil terus berebut untuk mengendali kemudi diri!

Sayidina Ali pernah berkata di satu ketika,

“Wahai dunia, janganlah tipu aku… janganlah tipu aku… aku telah ceraikanmu dengan talak tiga!”

toqki : doakan saya bisa jawab paper esok dengan baik dan tenang :)

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 0 comments | | edit post
toqki


Alhamdulilah, itulah ucapan yang mampu saya ungkapkan setelah melangkah keluar dari dewan peperiksaan hari ini.

Walaupun ada sedikit gementarnya, tapi ketenangan yang saya rasa sungguh mententeramkan...dan perasaan tenang itu menjadi lebih indah setelah membersikan anggota yang 4 dan terus mengadu cinta dan rindu pada-Nya. Indahnya merasakan ketenangan anugerah Mu itu ya Allah!!

Banyak benda hari ini saya belajar, saya sangat bahagia hari, sungguh saya terlalu bahagia hari ini. Apa sebab? Saya tidak pasti, betul!

Amat tepatlah bahawa apa yang kita fikirkan, selalunya sangat mempengaruhi hati dan suasana yang ada disekeliling kita. Justeru, jika kita ingin mengetahui bagaimanakah keadaan pemikiran kita – sama ada positif atau negatif, kesanlah perasaan kita.

Ceria atau nestapa. Jika ceria, insya-Allah itu petanda fikiran kita positif dan insya-Allah tindakan-tindakan kita pun akan jadi positif juga. Tindakan yang positif, akan menghasilkan natijah yang positif.



What you see, is what you get – apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat.

Maksud “see” di sini bukan dengan mata, tetapi dengan pemikiran dan perasaan. Jika pemikiran kita positif terhadap sesuatu perkara, maka kita akan mendapat sesuatu yang positif daripadanya. Tetapi jika kita melihat sebaliknya, yang negatif akan kita dapat sebagai balasannya.

Dalam kaedah psikologi ada yang dinamakan “reframing” – yakni, memberi erti baru kepada sesuatu yang negatif. Misalnya, kita gagal dalam peperiksaan… Itu buruk bukan?

Tetapi cuba beri erti baru, itu sebenar peluang untuk kita lebih memahami apa yang kita pelajari. Mungkin juga untuk memberi ruang bagi kita koreksi diri. Atau memberi tumpuan yang lebih lagi pada subjek yang kurang kita gemari.

Bukan menafikan realiti, tetapi dengan “reframing” kita akan dapat ketenangan hati dan kestabilan fikiran untuk menyelesaikan kemelut kehidupan.

Itu semua kaedah yang dianjurkan oleh pakar psikologi. Tetapi Islam punya kaedah yang lebih hebat daripada itu.

Kita ada ajaran 'Husnu Zhon' bersangka baik sekali gus dilarang berprasangka (itu satu dosa).

Kita ada anjuran untuk berdoa – bukankah dalam doa kita pinta yang baik-baik dan pinta dijauhkan daripada yang buruk.

Kita ada tawakal, ada solat hajat, ada istikharah dan ada muzakarah. Semuanya yang dibuat atas dasar yang baik dan mengharap yang baik-baik.

Semunya itu hakikat satu “mekanisme Ilahi” untuk melakarkan sesuatu yang positif dalam fikiran dan hati para insani.

Malah, Allah sendiri menegaskan – AKU menurut sangka hamba-KU! Jadi, inginkan kebaikan? Sangka baik dengan Allah, dengan diri sendiri dan dengan orang lain serta sikon (situasi & kondisi) yang dihadapi.

Ingat betul-betul bahawa hati itu umpama magnet. Ia mempunyai kuasa menarik sesuatu yang di luar diri.

Apa yang dirasakan, menentukan apa yang diterima sebagai pantulan. Justeru, penting sekali bersangka baik, agar kebaikan akan ‘ditarik’ ke dalam diri.

Jauhi daripada prasangka dan dendam, kerana itu jua yang akan diterima sebagai balasan. Sekali lagi… hati umpama magnet, semaikan rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai kebaikan. Jangan sekali-kali menyemai badai, nanti terpaksa pula kita menuai taufan!

Hati itu bolak-balik sifatnya. Sabda nabi, bagai kuah yang mendidih dan menggelegak. Simpang-siurnya begitu licik. Naik turunnya, berbolak-balik.

Kekadang ia baik, bagaikan asal mulanya sejak dulu. Jadi kain bersih yang menghamparkan kejernihan dan kesucian. Namun, seseketika bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.

Bila hatimu keras, buas dan liar sekali, bukalah Al Quran, bacalah dan tadabbur akan makna dan rasanya.

Al Quran itu bukankah penawar hati? Namun jika masih keras juga, dirikan solat.

Solat itu zikir penyucian hati....

Namun sekiranya masih keras jua… bangunlah di dinihari. Berwuduk dan berdoalah, pintalah kepada Tuhan agar dikurniakan hati yang lain kerana hati yang kau miliki waktu itu hakikatnya bukan lagi hatimu!

Hati itu ditarik antara dua graviti.

Pertama, graviti tahap tinggi pintalan ilham para malaikat.

Kedua, graviti menjunam lembah kehinaan simpulan para syaitan.

Ketika melihat simiskin meminta-minta, suara hati berdetik… bantulah dia, insan lara yang datang kerna kemiskinan. Namun sedetik cuma, tiba-tiba graviti bertukar, memberi alasan, biarkan… itu balasan buatnya akibat kemalasan!

Kau prasangka? Bukan, cuma berhati-hati. Dan atas alasan ‘berhati-hati’ ramai yang telah enggan memberi tetapi masih merasakan diri baik hati!

Ingat mati – pembasuh hati yang gelisah dan jiwa yang resah. Cukuplah mati sebagai peringatan dan amaran.

Ingat mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat.

Ingat mati akan memadamkan rasa enggan melaksanakan kebaikan.

Ingat mati itu sesungguhnya menghidupkan hati.

Tetapi… sayang, kita kian lupa untuk mengingatnya. Lalu, kita terkapai-kapai antara tarikan dua graviti hati… membuat kebaikan belum terasa kemanisannya, melakukan kejahatan tidak sunyi diburu rasa keresahannya!

toqki : Hari saya belajar apa itu POSITIF, usaha yang POSITIF, doa yang POSITIF, tawakal yang POSITIF , insya-Allah natijahnya pasti POSITIF!!


Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

toqki


Semalam saya sempat mengusik isteri saya dengan mengatakan begini padanya,

"cuti musim panas ni, sayang balik Malaysia seorang jelah, tolong ayah di kampung.. abang nak stay sini, abang nak talaqi!!"

Isteri saya diam seketika, cuba menelan air liur dan terus melontarkan senyuman kelat-kelat, masin pada saya.

"Takpe, nur tak kisah..abang laki, abang kena belajar lebih lagi dari nur...nur sanggup jadi seperti Siti Hajar bang! "

Lebar bibir saya tersenyum mendengarkan ungkapan sebegini, hati saya lega campur bangga memiliki isteri sepertinya, walaupun pada hakikatnya saya sengaja mahu tahu apa reaksinya, marahkah? Merajuk kah dia...

Itu cerita saya dan isteri...

Dulu-dulu sebelum saya berangkat ke Mesir, saya sempat mengetahui beberapa teknik atau cara-cara 'menyuntik' daya tarikan pada tulisan kita. Antara tekniknya ialah dinamakan sebagai 'Kill your Darling'.


Ia adalah istilah dalam penulisan, dan merupakan frasa yang kita anggap paling indah, bernas dan hebat sebenarnya tidak sebegitu dalam realitinya. Walaupun selalu diingatkan supaya kita melakukan 'self editing' tetapi frasa yang kononnya sangat indah itu tidak akan kita buang. Munasabah ke kita membuang sesuatu yang kita sayang?

Justeru, kita perlukan orang lain menyunting tulisan kita. Dan hanya pada ketika itu sahaja frasa 'kesayangan' kita dipotong atau diperbaiki. Kill your darling, itulah yang selalu digunakan dalam bidang penulisan. Hasilnya, hasil tulisan kita akan menjadi lebih baik, bernas dan tepat...




Pembaca yang saya kasihi, kekadang kehidupan kita seperti itu juga. Sentiasa ada individu, sikap, pendirian atau pandangan hidup yang kita anggap benar tetapi hakikatnya tidak.

Walaupun kita cuba bermuhasabah, ia tidak akan kelihatan juga sebab ia sudah terlalu dekat dengan diri kita. Cuba dekatkan sedekat-dekatnya tapak tangan kita ke mata sendiri.

Semakin dekat, semakin kecil radius penglihatan kita dan ia menjadi semakin kabur. Maka begitulah sikap, pandangan dan individu yang terlalu hampir dengan kita… kekadang sudah terlalu hampir hingga kita menjadi 'buta' untuk melihatnya.



Boleh jadi dia seorang teman yang rapat, . Tetapi hakikatnya dia adalah musuh mu yang ketat. Tetapi oleh sebab terlalu sayang, onarnya kabur di mata kita. Mungkin kerana pandainya dia melayani perasaan dan impian kita, lalu kita letakkan seluruh kepercayaan, padahal dia sedang bersiap sedia mengkhianati kita.

Mungkin ia sebuah buku, yang kita kelek ke sana ke mari. Kita baca berulang kali, lalu pengarangnya kita sanjung dan junjung. Namun hakikatnya, buku itu jauh dari hidayah, tersasar dari taufik Allah. Sedangkan bertahun-tahun kita sudah berhujah, membuat keputusan dan bertindak atas suluhan buku yang kabur itu.


Ah, boleh jadi ia satu amalan, yang kita anggap sangat menyelamatkan. Mungkin juga satu gelar kesolehan, 'status ibadah' atau 'status sosial' yang begitu menenteramkan, melegakan, namun tanpa disedari itulah terowong bagi ujub, riyak dan sum’ah mencelah.

Rasa baik, tenteram dan aman yang 'dihadiahkan' oleh amal dan gelar itu rupa-rupanya membawa kita ke daerah 'rasa tidak atau kurang berdosa' – satu jurang yang paling ditakuti oleh para solihin dan mukminin.

Cari-carilah di mana kecintaan mu yang mungkin membutakan mata hati mu. Belajar dari kisah Nabi Ibrahim AS dan isteri Hajar, belajarlah dengan rentetan peritiwa Nabi Ibrahim As dengan anaknya, tatkala diperintahkan menyembelih kecintaannya Nabi Ismail AS – seorang anak yang soleh, taat dan setia manakan mungkin menjadi hijab cintanya kepada yang Esa?



Namun, Allah menguji Nabi Ibrahim AS, agar mengutamakan cinta Allah daripada yang lain. Siapa sangka Ibrahim yang pernah tega 'menyembelih' kebencian pada wajah ratusan berhala, kemudian di perintahkan menyembelih 'kecintaan' di wajah anaknya sendiri?

Sahabatku, saya seperti kamu. Kerap dibutakan oleh cinta. Siapakah 'Hajar-Hajar'dalam hidup kita?

Siapakah 'Ismail-Ismail' dalam hidup kita?

Carilah semua itu di sebalik pendirian, prinsip, gelaran, jawatan, amal, isteri, teman dan segala yang menjadi kesayangan mu.

'Sunting' tulisan hidup mu dengan imbasan dan suluhan doa. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kita panduan dan keberanian untuk jadi seperti Ibrahim AS… 'Kill your darling' dalam kehidupan!

Sering kita alpa, bahawa yang paling kita cinta itulah kerap menjadi hijab untuk mendapat CINTA.

Bukan untuk menimbulkan pertentangan apalagi dilema antara cinta manusia dengan cinta Allah…

Tetapi selalunya begitulah kita teruji. Lepaskanlah cinta yang kecil untuk mendapat cinta yang lebih besar. Apabila kita mendapat cinta yang besar, cinta yang kecil akan menyerah dengan rela.



Apakah nabi Ibrahim AS kehilangan Ismail yang rela dikorbankannya? Tidak, bila dia 'lepaskan' Ismail, Ismail kekal menjadi anak yang dincintainya. Malah dia dikurniakan seekor kibasy yang gemuk sebagai hadiah dan barakah kesediaannya mengorbankan Ismail AS. Allah mengajar kita supaya 'kill your darling' bukan untuk mendera, tetapi begitulah yang dinamakan cinta… sentiasa menagih ujian.

Selepas diuji layaklah seorang hamba Allah mendapat cinta dan CINTA (sekaligus) kerana berjaya 'mengorbankan' cinta demi CINTA!

Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 3 comments | | edit post
toqki

“Barangsiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”

Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut sahabat saya tatkala saat hari lahir saya yang lepas. Agak terasa jugalah saya bila menerima penangan ‘percuma’. Saya kurang mengerti apa motifnya sahabat saya perlu berkata sebegitu rupa pada hari lahir saya.

“Untuk apa kita mati?”

“Untuk hidup…” jawab sahabat saya.

Saya diam dan terkial-kial. Apalah agaknya yang dimaksudkan sahabat saya seorang ini.

“Mati untuk hidup?”

Antara Perkataan Umar Ibn Aziz yang pernah beliau ungkapkan,

“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”


Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup kita di sana,.Maka akhirat itulah tujuan hidup yang fana ini, dan demi kelangsungan hidup yang baqa itu.


ADA APA DENGAN UMUR?

Umur hanyalah putaran suria, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam dan minit . Kita akan kekal, tapi sifat kekal itu bukanlah seperti Khaliq yang bersifat Baqa’.

“Panjang dan pendek umur yang diberikan pada kita bukanlah dinilai pada kuantiti tapi pada kualiti. Juga bukan pada yang zahir tapi juga yang maknawi.” Tambah sahabat saya lagi

Para ulama zaman lampau telah lama mentakrifkan maksud nilai umur pada diri individu muslim.

Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazal tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad.Contoh lain Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya.


“Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa,” kata saya seakan merumuskan.

“Harta boleh panjangkan umur… sedekah atau wakafkan, jadilah amal jariah. Pahalanya berterusan. Akhlak boleh panjangkan umur… hubungkanlah silahturrahim, panjanglah umur kita. Demikian maksud hadis.”


RAHSIA PANJANG UMUR

“Apakah rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur itu?”

“Mereka sedar tentang tujuan! Mereka adalah peribadi yang sentiasa sedar akan tujuan segala sesuatu . Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.”

“Hasilnya?”

“Dunia sentiasa menyediakan jalan kepada orang yang punya tujuan. When there is wiill, the is a way!.”

“Tapi kita bukan mereka?”

“Betul. Tapi itu bukan kelemahan, bahkan satu kekuatan. Setiap kita adalah istimewa. semestinya kita pasti ada kelebihan masing-masing. Tuhan tidak ciptakan manusia bodoh, tetapi Dia mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”

“Kita lebih bijak daripada mereka?”

”Ya, di sudut-sudut tertentu. Seorang pemandu lebih bijak daripada seorang profesor dari segi pemanduan kereta.”

“Tetapi keintlektualan lebih berharga daripada kebolehan memandu kereta. Profesor lebih berharga daripada seorang ‘driver’ ”

“Maksudnya, umur seorang profesor lebih ‘panjang’ berbanding seorang driver? Maksud enta begitu?”

“Perbezaan itu bukan perbezaan taraf, tetapi perbezaan jalan. Jalan untuk seorang driver menjadi hamba Allah berbeza dengan jalan seorang profesor. Itu sahaja.”

“Enta tidak mengiktiraf darjat orang berilmu ke?” saya cuba minta lebih penjelasan.

“Bukan begitu zie... Orang berilmu memang dilebihkan dengan beberapa darjat… tapi dengan syarat, mereka takutkan Allah. Kan itu takrif sebenar seorang ulama?”

“Maksudnya?”

“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi darjatnya daripada seorang profesor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ profesor itu lebih panjang daripada umur seorang driver lantaran ilmu dan amalanya yang lebih tinggi dan berharga!”


“Kan, surah Al Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup dan hidup.. Syuhada’ mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi untuk panjang umur ialah mati syahid,” ujar sahabat saya cuba memendekkan masa perbualan"

Para sahabat Rasulullah sollahu'alaihiwasalam itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini ‘mati’ kerana mencintai hidup.

...........................

Tulisan ini sebenarnya adalah satu ucapan khas buat 2 orang sahabat saya Abdullah Harees, Tengku Khairul Idham dan mereka yang menyambut hari lahir pada bulan ini.

Selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silahturrahim, selamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah.

Selamat panjang umur!


Idham & Harees

Moga ukhuwah kita sentiasa hangat dan terus membakar!



Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU

Label:saya 0 comments | | edit post
toqki




Berat rasa hati mahu menulis bab rumahtangga walaupun pada hakikatnya saya sudah pun berumahtangga dan jika anda perhatikan terlalu sedikit rasanya tulisan saya berkenaan isu rumahtangga, atau hubungan suami isteri.

Yelah, ada waktu dan ketika saya kadang-kadang hampir sahaja terlupa saya ini suami orang!!:)

Tulisan kali ini saya hanya me'riwayat'kan satu isu yang pernah saya bualkan bersama abang angkat (Azhar namanya) saya dimusim percutian yang lepas.



............


Satu cerita : Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang membisik, bisikan berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang terkeluar dari mulut.

Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang? Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dibilang dengan jari. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.

(saya dan abang Azhar)


Abang Azhar kata "gitulah resmi lelaki, enta kena ingat tu zie!"

Semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan.

Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.


Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta.

Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu.

Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.

Dalam perbualan kami itu, secara bergurau abang Azhar sempat sahaja menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila sudah berumahtangga , sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami(bukan semualah, saya tak macam tu pun) :)

Mengapa? Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita pendiam menjadi peleter yang tidak pernah kenal erti rehat.

Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam(senyuman saya masih lagi lebar dan terus lebar)

Kesukaran tugas dan beban tanggungjawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.


(zaman bujang yang sudah berlalu)


Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!

Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan. Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan.

Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumahtangga.


Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati.

Benarlah kata hukama,

perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.

Apa maksud tanggungjawab?

Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita “tanggung” di dunia, “disoal” di akhirat dan mesti kita jawab di hadapan Allah SWT kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggung-jawab.

Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun seorang isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.

Telah sering kita diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya ialah mencari keredaan Allah.

Rumahtangga hakikatnya adalah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredaan-Nya. Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat.

Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Bila ini menjadi asas dan terasnya, maka itulah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggung jawab.

Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggungjawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumahtangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggungjawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur.

Sebaliknya, jika ada tanggungjawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumahtangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.

Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggungjawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan.


Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggungjawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar.

Genggam bara api biar sampai jadi arang. Begitulah kekuatan satu tanggungjawab, yang mampu bertahan ketika 'cuaca' rumahtangga tenang ataupun bergelombang.

Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali.

Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah.



Seorang pakar motivasi pernah mengatakan ;

"Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan"

Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri.

Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga.

Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.

Oleh itu, tunggu apa lagi?

Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan “fail lama” untuk mencipta keserasian baru.

Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini.

Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.

Membina cinta ketika tarikan fizikal sudah menurun , ianya memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman?

Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggungjawab. Walaupun berat terasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah.

Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak atau masalah yang dihadapi, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunnah.

Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.


Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggungjawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan KETIKA ITU CINTA , ketenangan dan kebahagiaan akan berpaut kembali harum dan mewangi!

Tip untuk bertanggungjawab:

* Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita adalah milik Allah bukan milik kita.
* Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
* Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
* Sering melakukan solat istikharah dan hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
* Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggung jawab dengan perintah Allah.
* Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksanya jika mengabaikan tanggung jawab.
* Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati… itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.

toqki : saya mahu lebih bertanggungjawab!!

Pernikahan menyingkap tabir rahsia
Suami isteri inginkan keluarga yang bahagia
Dan mengharapkan sebuah bahtera indah
Untuk bersama belayar ke muara

Pernikahan, menginsafkan kita
Perlunya iman dan takwa, meniti sabar dan redha
Bila masa senang syukuri nikmat Tuhan
Susah mendatang tempuhi dengan tabah

Isteri janji telah dipateri
Diijab kabulkan dan dirahmati
Detik pertemuan dan pernikahan
Yang dihujani air mata kasih
Demi syurga Ilahi


Suami jangan menagih setia
Umpama Hajar dan setianya Zulaikha
Terimalah seadanya yang terindah
Di lubuk hatimu
Isteri adalah amanah buatmu

Pernikahan mengajar tanggungjawab bersama suami dan isteri

Isteri hamparan dunia
Suami langit penaungnya
Isteri ladang tanaman
Suamilah pemagarnya
Isteri bagai kejora
Suami menjadi purnama
Tika isteri beri hempedu
Suami tabah menelannya

Tika suami terteguk racun
Isteri carilah penawarnya
Sungguh isteri rusuk yang rapuh
Berhati-hatilah meluruskannya



Teruskan bacaan anda..
Kunjungan anda amat saya hargai. Terima kasih. Komenlah dengan penuh hikmah.Gunakanlah Bahasa Melayu yang betul.Kunjungilah T O Q K I SELALU